BEKAS pesuruhjaya Suhakam Dr Aishah Bidin dilantik sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2022-2024.
Aishah menggantikan peguam Eric Paulsen yang pelantikannya sebelum ini jadi antara titik pertikaian terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh kumpulan dan badan Melayu dan Islam.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata Aishah, yang juga bekas dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berpengalaman luas dalam bidang hak asasi manusia.
“Dengan pengalaman yang luas dalam bidang hak asasi manusia, Kerajaan yakin bahawa Profesor Dato’ Dr. Aishah Bidin mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam mempertahan dan mempromosi kepentingan Malaysia berhubung isu-isu hak asasi manusia melalui AICHR.,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin menyifatkan pelantikan itu juga bukti jelas kesungguhan kerajaan mempromosi dan melindungi isu hak asasi manusia dalam ASEAN melalui AICHR.
Aishah menganggotai Suhakam antara 2016 hingga 2019. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Korporat Malaysia (CLRC).
Dengan kepakarannya dalam bidang undang-undang korporat dan insolvensi, beliau pernah juga terlibat dalam Jawatankuasa Semakan Undang-undang Kebankrapan dan Insolvensi Korporat Malaysia.
Kumpulan Melayu dan Islam sebelum ini membantah pelantikan Paulsen kerana pendirian dan pandangannya mengenai hak asasi manusia yang dianggap anti Islam.
Paulsen dilantik juga semasa Saifuddin menjadi menteri luar dalam pentadbiran PH.
“Kerajaan juga ingin merakamkan penghargaan kepada Encik Eric Paulsen di atas perkhidmatan dan dedikasi beliau selama tiga tahun yang lalu,” kata Saifuddin.
AICHR adalah sebuah badan antara kerajaan di bawah ASEAN yang diberi mandat penuh mengikut piagam pertubuhan itu untuk menguruskan perkara berkaitan hak asasi manusia. – 19 Mac, 2022.
Komen