PARLIMEN akan dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan tidak lama lagi, kata Pengerusi DAP Tan Kok Wai yang bakal berundur.
Semua petunjuk sudah ada, katanya kepada The Malaysian Insight, seperti yang boleh dilihat dengan tekanan dilemparkan Umno kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, Kluster Mahkamah dalam Umno yang antaranya terdiri daripada Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, kedua-duanya berdepan kes rasuah di mahkamah sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, tidak sabar-sabar untuk PRU diadakan tahun ini.
Tan berkata ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada malam Rabu sempena perasmian Persidangan Pemuda dan Wanita Umno juga adalah petunjuk jelas.
Mohamad berkata PRU15 akan diadakan tidak lama lagi bagi membolehkan Umno untuk menyerang musuhnya yang kini dalam keadaan lemah.
“PRU15 akan diadakan lebih cepat daripada jangkaan semua orang,” kata Tan yang tidak bertanding pada pemilihan semula di Kongres DAP Nasional dan pengundian, Ahad ini.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) PH dan Ismail Sabri, PRU15 tidak akan diadakan sebelum Julai 2022 dan selewat-lewatnya sebelum Julai 2023.
MoU yang ditandatangani pada September tahu lepas sebaik sahaja Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri adalah untuk memberikan kestabilan politik disebabkan marjin sokongan yang kecil diterimanya di Parlimen, dengan janji pelbagai pembaharuan dituntut PH.

Malaysia ketika itu juga sedang bergelut dengan penularan pantas varian Delta Covid-19.
“Jika Umno kembali berkuasa, ia (situasi) yang sangat teruk untuk rakyat. Kita ada tanah luas dan di kuasa ekonomi kedua di Asean tetapi semuanya hilang di bawah BN,” kata Tan.
“Malaysia kaya sumber tetapi ketinggalan disebabkan korupsi berleluasa.
“PRU akan datang adalah peluang untuk memastikan BN dan Umno tidak akan kembali (berkuasa) lagi. Saya harap rakyat faham ini,” katanya.
Tan, bagaimanapun, mengakui yang DAP sukar meraih sokongan pengundi Melayu.
Sokongan pengundi Cina masih tulang belakang parti, tambahnya. – 19 Mac, 2022.
Komen