Muda didik pengundi belia, luar bandar sebelum PRU15, kata Amira


Noel Achariam

Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz, satu-satunya calon parti itu yang menang pada PRN Johor iaitu kerusi Puteri Wangsa. – Gambar Facebook, 19 Mac, 2022.

MEMBERI inspirasi kepada orang ramai untuk mengundi dan mendekati golongan belia dan pengundi luar bandar sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah cabaran terbesar Muda, kata setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz.

Parti berasaskan golongan muda itu kali pertama menyertai pilihan raya pada 12 Mac lalu menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan menang satu daripada tujuh kerusi ditandingi.

Amira, satu-satunya Adun dalam 56 DUN di Johor pada masa ini, berkata matlamat utama Muda ialah meluaskan lagi pendidikan dan kesedaran politik kepada pengundi luar bandar dan golongan belia.

Walaupun banyak publisiti tentang Undi18, kes mahkamah dan usaha menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, beliau berkata masih ramai beliau tidak tahu mereka boleh mengundi dan ini menunjukkan mereka perlu dididik tentang hak masing-masing.

“Di kawasan bandar, tidak ada masalah berkenaan Undi18, tetapi bila kita ke kawasan luar bandar, didapati kesedaran dalam kalangan belia masih rendah berkenaan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

“Ramai tidak tahu mereka boleh mengundi, malah mereka juga tidak tahu bagaimana proses mengundi itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tahun lalu, kerajaan melaksanakan perundangan Undi18, seperti diperintahkan mahkamah selepas Putrajaya melengkahkan penguatkuasaannya. Umur mengundi kini direndahkan daripada 21 kepada 18 tahun, selari dengan pendaftaran pengundi automatik.

Muda selepas didaftarkan pada Disember tahun lalu, bertanding tujuh kerusi pada PRN Johor iaitu di DUN Puteri Wangsa, Larkin, Parit Raja, Bukit Kepong, Machap, Tenang dan Bukit Permai.

Amira memberi kemenangan pertama kepada Muda apabila berjaya menawan Puteri Wangsa dalam pertandingan enam penjuru dan majority mengagumkan iaitu 7,114 undi, berbanding pesaing terdekatnya, calon Barisan Nasional (BN).

BN menang PRN Johor dan membentuk kerajaan negeri, selepas menang 40 daripada 56 kerusi.

Muda menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan PKR, di mana jika digabungkan, mereka ada 13 kerusi. Perikatan Nasional menang tiga kerusi.

Bagi meluaskan lagi jangkauan, Amira berkata Muda merancang untuk meluaskan bengkel mereka ke seluruh negara, dan perinciannya akan diumumkan tidak lama lagi.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan bila tiba PRU15 nanti, belia sedar hak mereka untuk mengundi.

“Kami sudah memulakan bengkel kesedaran politik dnegan belia di kawasan bandar, tetapi sekarang kami mahu mendekati mereka di luar bandar.

“Kami bukan saja mahu menunjukkan cara proses mengundi, tetapi memahamkan mereka kenapa penting untuk mereka mengundi, demi masa depan.”

Muda mempunyai 75,000 ahi berdaftar di seluruh negara yang akan menggerakkan ahli mereka bagi membantu di bengkel berkenaan. – 19 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen