PAS yang tinggalkan MN, bukan Umno, kata Asyraf Wajdi


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu berusaha untuk menyelamatkan Muafakat Nasional untuk memperkukuhkan kerjasama itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2022.

KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bukan salah Umno jika Muafakat Nasional tidak berjaya kerana PAS yang meninggalkan kerjasama itu untuk membentuk Perikatan Nasional.

Sedangkan Umno kata Asyraf berusaha untuk menyelamatkan MN, selari dengan keputusan perhimpunan agung tahunan mereka tahun lalu untuk memperkukuhkan kerjasama itu.

“Di Melaka kita masih nak selamatkan MN, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) minta PAS tanding lambang PAS, tapi dia nak kekal guna PN. 

“Kita ambil mandat PAU lepas pertahankan MN tapi orang tak nak tak kan kita nak hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” kata Asyraf.

Malah perkara itu katanya turut didedahkan bekas pimpinan PAS Khairuddin Aman Razali selepas meninggalkan PAS.

“Yang tinggalkan MN adalah PAS. Bila saya dedahkan bagaimana siri mesyuarat MN tiga kali tanya PAS akan sertai jawatankuasa penaja MN, PAS nafikan (tidak beri jawapan). 

“Rupanya bila bekas setiausaha masjlis syura ulama PAS, Khairudin isytihar keluar parti dia dedahkan keputusan PAS sertai PN tidak pernah dirujuk Majlis syura, majlis tertinggi keputusan parti.

“Ini membuktikan yang meninggalkan MN sertai PN membelakangi Umno adalah PAS. Umno tak pernah khianat hubungan,” kata Asyraf.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara ketika perhimpunan agung tahunan (PAU) berlangsung, hari ini. 

Tambah Asyraf, perjanjian kerjasama antara Umno dan PAS juga belum mempunyai kata putus ya.

“Ia perjanjian bilateral bukan unilateral, kalau nak putuskan salah satu daripada parti kena isytihar… tetapi bukan Umno yang tinggalkan MN, setakat ini PAS,” kata Asyraf lagi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pendirian Pemuda Umno yang mahukan pemilihan parti diadakan selepas PRU15, Asyraf berkata, langkah itu bagi membolehkan kekuatan Umno berada pada tahap optimum.

Katanya, sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU15, Umno akan kehilangan kira-kira 30% kekuatan mereka, disebabkan akan terdapat kelompok yang tewas.

“Realiti Umno perlu masa proses pemilihan, demokrasi subur, ada pertembungan ada menang ada kalah. 

“Dalam nak hadapi peperangan jangan sesekali berhadapan (PRU15) dalam keadaan ramai yang tercedera.

“Sejarah Umno 30% kekuatan akan berkurangan dalam pemilihan, kita tak mampu berhadapan pilihan raya umum tanpa kekuatan optimum,” kata Asyraf lagi. – 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen