RUU anti lompat parti ditangguh untuk perbincangan lanjut, kata menteri


Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU Anti Lompat Parti perlu dibincangkan lebih lanjut sebelum boleh dibentangkan di Dewan Rakyat. – Gambar Facebook, 18 Mac, 2022.

RANG Undang-undang Anti Lompat Parti perlu dibincangkan lebih lanjut sebelum boleh dibentangkan di Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

RUU itu yang juga bertujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri sepatutnya dibentangkan semasa persidangan Dewan Rakyat ketika ini.

“Kabinet memutuskan RUU itu memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan terutamanya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk mendapatkan sokongan mereka di Dewan Rakyat. 

“Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan majoriti dua pertiga diperlukan untuk meminda Perlembagaan,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata surat dan tinjauan dihantar kepada semua pemimpin parti pada 15 Mac untuk input lanjut mengenai RUU itu.

“Ini adalah kesinambungan daripada sembilan sesi keterlibatan saya dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara sebelum ini.

“Sesi ini melibatkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersama-sama parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sesi keterlibatan dengan BN dan PN sepertutnya diadakan pada 26 dan 28 Februari ditangguhkan atas permintaan parti bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Wan Junaidi.

Sebaik sahaja semua sesi keterlibatan selesai dan kelulusan Kabinet diperleh RUU itu akan dibentangkan semasa sidang khas Parlimen mengikut Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, katanya.

Pengenalan RUU Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) untuk kestabilan politik dan transformasi yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan.

MoU itu ditandatangani pada 14 September dan memberi tumpuan kepada enam bidang pembaharuan. – 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen