PELANCONG ke Thailand tidak lagi perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum menaiki penerbangan di bawah rancangan yang diumumkan negara itu hari ini.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan semula sektor pelancongan yang dilanda pandemik.
Mulai 1 April keperluan untuk mengambil ujian Covid-19 dan disahkan negatif dalam tempoh 72 jam perjalanan akan dibatalkan dan sebaliknya pelawat akan diuji semasa tiba di Thailand, kata Taweesin Visanuyothin, jurucakap pasukan petugas Covid-19 negara itu.
Sekatan perjalanan yang kejam membantu Thailand mengehadkan bilangan kes dan kematian Covid-19 pada peringkat awal wabak itu tetapi menjejaskan industri pelancongan yang menyumbang kira-kira satu perlima daripada ekonomi negara berkenaan.
Thailand kini merekodkan kira-kira 25,000 kes baharu Covid-19 apabila varian Omicron merebak ke seluruh negara tetapi pegawai berharap ia akan menurun pada ketika mereka beralih ke fasa pasca-pandemik mulai Julai.
Berusaha untuk bangkit daripada prestasi ekonomi terburuk sejak krisis kewangan Asia 1997 Thailand melonggarkan sekatan perjalanan perlahan-lahan sejak sembilan bulan lalu.
Industri pelancongan menganggarkan kira-kira lima juta pelawat asing akan ke Thailand pada 2022 - turun daripada hampir 40 juta pada tahun sebelum wabak melanda. – AFP, 18 Mac, 2022.
Komen