PRU lebih utama dari pemilihan parti, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika memyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2022.

PEMIMPIN Umno perlu mengutamakan penyatuan untuk menghadapi pilihan raya umum berbanding kempen pemilihan parti, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau tahu kempen pemilihan parti sudahpun mula digerakkan walau majoriti bahagian bersetuju agar ia ditangguhkan selepas pilihan raya umum ke-15.

“Jangan ingat presiden tak tahu, presiden pernah jadi menteri pertahanan, ada risikan, presiden pernah jadi menteri dalam negeri, ada cawangan khas (SB) bawah dia.

“Cukup. Kita tumpu penyatuan parti untuk pilihan raya umum. Itulah keutamaan kita,” kata Ahmad Zahid ketika memyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur.

Beliau mengingatkan, majoriti 186 bahagian Umno bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum.

“Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU, bertahun-tahun ia diamalkan.

“Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin,” tegas Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno bagaimanapun menghormati saranan anggota yang mahu pemilihan diadakan sebelum PRU15 namun parti menetapkan ia berlangsung pada Disember.

“Ini sekadar cadangan yang melambangkan wujudnya demokrasi dalam parti. Kita percaya mereka tiada sebarang motif.

“Jika sesuatu mesyuarat semuanya dianggotai oleh yes man, tak perlulah bermesyuarat.

“Kita sudah tetapkan mengikut persetujuan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bahawa pemilihan parti diadakan pada akhir tahun ini, atau secara tepatnya sebelum 29 Disember 2022,” katanya.

Kenyataan itu menyahut tuntutan Pemuda Umno semalam yang mengusulkan Umno meminda perlembagaan untuk menetapkan pemilihan parti dibuat selepas pilihan raya umum.

Umno mendesak PRU15 disegerakan selepas menang besar dalam dua pilihan raya negeri, di Melaka dan Johor.

Perdana Menteri Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno pada minggu lalu bagaimanapun berkata kerajaan tidak akan terburu-buru melaksanakan PRU15 lebih awal.

Katanya, PRU15 hanya akan diadakan setelah Barisan Nasional (BN) bersedia sepenuhnya. – 18 Mac, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen