UMNO tidak akan mengamalkan politik balas dendam sekiranya parti itu diberi peluang memerintah negara dan kembali dominan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno tidak akan mengulangi amalan politik balas dendam diamalkan pentadbiran kerajaan sebelum ini yang menyaksikan ramai pimpinan parti Melayu dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan salah guna kuasa.
“Langkah dilakukan mereka bersifat mahu membalas dendam, pada bossku, tak kurang orang yang bercakap ini… kluster mahkamah,” kata Zahid, merujuk kepada Najib Razak.
“Insya-Allah kalau naik semula, tidak ada istilah balas dendam akan kita lakukan,” kata Zahid.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU), hari ini.
Sehubungan itu, Zahid berkata Umno harus menjadi parti dominan selepas PRU15 untuk menghentikan budaya politik membalas dendam.
“Mereka jahat, hakikatnya mereka jahat, mereka amal politik balas dendam, bagi menentukan tiada balas dendam Umno mesti dominam semula dalam PRU15,” kata Zahid lagi.
Ahmad Zahid juga mengingatkan pemimpin Umno dalam kalangan jemaah menteri supaya berhati-hati kerana musuh akan cuba mengambil kesempatan mengenakan tuduhan ke atas mereka.
“Ingat, kluster Putrajaya itu hanya belum dikenakan dakwaan, dan belum dibersihkan daripada cakap-cakap kedai kopi.
“Ingat sekarang mereka meletakkan kononnya kluster Putrajaya sedang diperhati termasuk ada yang di depan di sini menjadi menteri.
“Menteri, dan timbalan menteri sedang dipantau, jangan syok sendiri termasuk menteri besar Johor yang baharu,” kata Ahmad Zahid, merujuk kepada Onn Hafiz Ghazi.
Jelasnya, walaupun bersih tanpa sebarang kes, musuh akan tetap mencari jalan untuk mendakwa mereka.
“Ketika ini kita bersih sebab belum didakwa mereka akan cari jalan untuk mendakwa walaupun tidak ada kes, termasuk 87 kes. Mereka akan cari,” katanya.
Ahmad Zahid berhadapan pertuduhan 87 kes dengan sebahagian daripadanya kini sedang dibicarakan di mahkamah.
Bekas timbalan perdana menteri itu kini sedang berhadapan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Selain itu, Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara.
Najib pula dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
PAU 2022 yang disertai 5,571 perwakilan kali ini berlangsung selama empat hari bermula Rabu lalu. – 18 Mac, 2022.
Komen