Pulau Pinang tidak adakan pilihan raya awal, kata DAP


Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang akan mengekalkan haknya dan memutuskan mengadakan pilihan raya selepas tamat penggal penuh. – Gambar EPA, 18 Mac, 2022.

KETIKA spekulasi Umno mungkin akan mendesak pilihan raya umum lebih awal dari tarikh akhir Julai 2023, Pulau Pinang memutuskan mengadakan pilihan raya selepas tamat penggal penuh.

Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow  berkata negeri itu akan mengekalkan haknya dan tidak akan mengikut jika pilihan raya raya umum diadakan lebih awal.

“Kami tidak perlu ikut pilihan raya nasional kerana negeri boleh buat keputusan sendiri dan kami boleh pilih untuk adakan pilihan raya setelah penggal penuh berakhir.

“Tambahan pula ia tidak menjadi duluan kerana ia telah berlaku sejak sekian lama sebelum ini di Sabah, Sarawak, Kelantan, Johor dan Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum CEO PKS 2022 di Georgetown hari ini.

Sementara itu, Chow berkata Kongres Kebangsaan DAP ke-17 yang akan diadakan pada 20 Mac akan memberi tumpuan kepada dua isu utama—perubahan dalam barisan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) terutama jawatan setiausaha agung parti dan 30% wakil wanita dalam jawatankuasa kepimpinan kebangsaan DAP. 

“Kami berharap barisan kepimpinan nasional yang baru ini akan dapat membawa parti ke hadapan dalam keadaan politik yang bergolak ini,” tambahnya. – Bernama, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen