Guan Eng patut elak ulas hal ehwal PKR, kata Nik Nazmi 


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau dan rakan-rakannya dalam PKR tidak akan mencampuri hal ehwal DAP.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2022.

LIM Guan Eng sepatutnya mengelak daripada mengulas tentang hal dalaman PKR, termasuk pemilihan parti, kata pemimpin parti itu Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Ahli Parlimen Setiawangsa menerusi Facebooknya berkata sebagai orang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik, Lim sepatutnya faham parti ini mempunyai prosesnya tersendiri termasuk kaedah pemilihan kepimpinan parti.

Sudah beberapa orang berkongsi artikel berkenaan komentar Setiausaha Agung DAPLim Guan Eng yang mengulas tentang hal dalaman PKR.

“Saya faham selalunya media akan ‘menjolok’ kita dengan soalan-soalan yang nakal berkaitan parti lawan atau kawan, saudara Guan Eng sepatutnya faham PKR mempunyai prosesnya tersendiri termasuklah kaedah pemilihan kepimpinan parti.

“Sepatutnya beliau mengelak mengulas sesuatu yang hanya akan mengundang spekulasi dan kontroversi,” kata Nik Nazmi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Lim di Malaysiakini mengenai kritikan Rafizi Ramli terhadap strategi pilihan raya Pakatan Harapan.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa majlis presiden PH sedang mempertimbangkan pakatan dengan Perikatan Nasional untuk pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha agung DAP itu berkata kritikan Rafizi ditujukan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan mencadangkan Rafizi - yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR - untuk bertanding jawatan presiden.

Nik Nazmi, yang merupakan ketua setiausaha pengelola PKR, berkata beliau dan rakan-rakannya dalam PKR tidak akan mencampuri hal ehwal DAP atau akan memberitahu ahli muda DAP tentang apa yang patut mereka lakukan dalam parti.

“Semoga saudara Lim Guan Eng akan mengambil pelajaran dalam hal ini,” katanya.

Baru-baru ini, Rafizi mengumumkan akan kembali aktif berpolitik selepas berehat.

Beliau turut mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Percubaan pertama Rafizi untuk mendapatkan jawatan itu adalah pada 2018 namun bekas ahli Parlimen Pandan itu tewas kepada timbalan presiden PKR ketika itu, Mohamed Azmin Ali. – 18 Mac, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen