Acara naikkan bendera dahului perasmian Perhimpunan Agung Umno 2021 


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera Sang Saka Bangsa pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2021 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2022.

PERHIMPUNAN Agung Umno 2021 dimulakan dengan acara menaikkan bendera Umno di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur hari ini.

Upacara menaikkan bendera yang menjadi simbolik perasmian perhimpunan dimulakan dengan bendera pergerakan Wanita Umno oleh Ketuanya, Dr Noraini Ahmad.

Ia kemudian diikuti Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri Zahida Zarik Khan yang menaikkan bendera pergerakan masing-masing. 

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba pada 8.05 pagi kemudiannya menaikkan bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu Umno, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh perwakilan yang hadir menyaksikan acara tersebut.

Turut hadir Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. Hadir sama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno bersama dua lagi naib presiden iaitu Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung parti Ahmad Maslan.

Perhimpunan kali ini yang disertai 5,571 perwakilan diadakan selama empat hari bermula Rabu.

Selaras dengan situasi Covid-19, Perhimpunan Agung Umno 2021 diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal. – Bernama, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen