TENGKU Zafrul Abdul Aziz menangkis spekulasi yang timbul bahawa beliau sudahpun meletak jawatan sebagai menteri kewangan apabila didapati tidak hadir ke Dewan Rakyat hari ini.
Senator itu berkata, beliau tidak hadir untuk membentangkan permohonan belanjawan tambahan kerajaan kerana ia dirancang untuk dilaksanakan timbalannya Mohd Shahar Abdullah.
“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, timbalan menteri kewangan juga yang bentangkan ...” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Bagi satu lagi sesi melibatkan jawapan kepada menteri semalam, Zafrul berkata belau tidak hadir kerana perlu menangani satu kecemasan peribadi.
“... Saya ingin menjelaskan bahawa ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini, dan perkara ini telahpun dimaklumkan semalam.
“Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai menteri kewangan,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Agama Idris Ahmad kerana membacakan jawapannya di Dewan dan memohon maaf kepada ahli lain atas kesulitan yang timbul.
Kenyataan Zafrul dilampirkan dengan satu imej menunjukkan satu laporan Utusan Malaysia yang membangkitkan persoalan mengenai peletakan jawatannya.
Zafrul berkata, Utusan sepatutnya meminta penjelasan dari pegawainya dan tidak menyebarkan khabar angin seperti itu.
Isu itu juga dikaitkan dengan satu kenyataannya pada Januari yang menyebut beliau rela meletak jawatan dari membenarkan satu lagi pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Perdana Menteri Ismail Sabri kemudian semalam mengumumkan kebenaran untuk pencarum mengeluarkan sebanyak RM10,000 lagi dari simpanan tabung itu.
Perkara itu dibangkitkan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) sewaktu mempersoalkan mengenai ketidakhadiran Zafrul di Dewan Rakyat hari ini.
Mahfuz dalam soalannya bertanya sekiiranya Zafrul sudahpun meletak jawatan memandangkan Ismail mengumumkan kebenaran pengeluaran khas berkenaan.
Ismail mengumumkan perkara itu susulan tekanan dari kalangan pemimpin Umno untuk membenarkan satu lagi pengeluaran khas dari tabung berkenaan. – 17 Mac, 2022.
Komen