Zahid jawab isu pelantikan MB Johor, PRU15 esok


Chan Kok Leong

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan menjawab kedua-dua spekulasi itu dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2022.

AHMAD Zahid Hamidi akan menjawab isu pelantikan mengejut Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor baharu dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 esok.

Presiden Umno itu berkata beliau juga akan menjawab spekulasi di mana tidak semua pemimpin bersetuju menghadapi PRU15 lebih awal, esok.

“Saya akan jawab kedua-dua soalan itu esok,” kata Zahid pada sidang media di ibu pejabat Umno di PWTC hari ini.

Adun Machap Onn yang berusia 42 tahun dilantik sebagai MB pada Selasa walaupun 38 daripada 40 Adun Barisan Nasional Johor menyokong penyandang Hasni Mohammad untuk jawatan itu.

Menurut laporan, 38 Adun itu telah menandatangani akuan berkanun menyatakan sokongan mereka kepada Hasni, yang kemudiannya diserahkan kepada istana. Namun, di sebalik janji pilihan raya BN sendiri, Onn dilantik sebagai pengganti.

PAU 2021 bermula malam tadi dengan Timbalan Presiden Mohamad Hasan menggesa PRU15 diadakan lebih awal kerana pembangkang tidak bersedia.

Seruan ini disokong hari ini oleh Ketua Pemuda dan Puteri Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Zahidah Zarik Khan dalam ucapan perasmian pagi ini.

Sementara itu, Zahid memberitahu pemberita bahawa majlis tertinggi akan mengadakan mesyuarat malam ini menjelang perhimpunan utama esok.

“Ini adalah mesyuarat biasa yang diadakan pada malam perhimpunan agung tahunan parti di mana taklimat akan diberikan pengerusi.

“Usul yang dibentangkan majlis tertinggi adalah untuk membahaskan ucapan dasar presiden.

“Kami akan meneliti usul malam ini,” katanya. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen