Masjid di Wilayah Persekutuan boleh rapat saf 1 April, umum Jawi


Jemaah di semua masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh merapatkan saf untuk solat jemaah mulai 1 April ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2022.

JEMAAH di semua masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh merapatkan saf untuk solat jemaah mulai 1 April ini, umum pihak berkuasa agama Islam bagi Wilayah Persekutuan.

Kelonggaran sehari sebelum umat Islam dijangka mula berpuasa itu turut melibatkan kebenaran untuk mendirikan solat terawih 20 rakaat pada Ramadan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan baharu itu dibuat selaras peralihan fasa penularan Covid-19 kepada endemik bermula tarikh itu dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Berkuat kuasa 1 April 2022 (Jumaat), dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan.

“Jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

“Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang sudah menerima vaksinasi Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ajib juga memaklumkan semua masjid dan surau dibenar menganjurkan majlis berbuka puasa, moreh dan sahur tetapi makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus.

Kegiatan tadarus Al-Quran di masjid dan surau juga dibolehkan dalam kumpulan kecil.

“Semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” tambahnya.

Kelonggaran ini diumumkan kebetulan genap dua tahun Putrajaya pertama kali mengenakan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk melibatkan kegiatan keagamaan.

Penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat pada masa itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac, 2020. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen