SEBANYAK 28,298 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, hari kelima berturut-turut Malaysia mencatatkan kurang daripada 30,000 kes.
Bagaimanapun, kes semalam lebih tinggi sedikit berbanding 22,030 sehari sebelumnya.
Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di laman web CovidNow, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sejak bermulanya wabak kepada 3,900,433.
Jumlah kematian yang dilaporkan semalam meningkat berbanding 95 pada hari sebelumnya kepada 105, dengan 29 pesakit meninggal dunia di luar hospital.
KKM menjelaskan semua kematian yang dilaporkan berlaku dalam satu hari, tetapi dilaporkan oleh kemudahan perubatan kepada kementerian dalam tempoh 72 jam.
Angka kematian kini mencecah 34,099.
Mengenai pecahan jangkitan baharu semalam, Selangor sekali lagi melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu 7,651, diikuti Kuala Lumpur (3,565) dan Johor (2,577).
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Pulau Pinang (2,441), Kedah (2,034), Negeri Sembilan (1,908), Sarawak (1,555), Perak (1,446), Pahang (1,302), Kelantan (995), Terengganu (934), Melaka (727), Sabah (708), Perlis (159), Putrajaya (180) dan Labuan (146).
Perak pula mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 21, dengan dua daripadanya kematian di luar hospital.
Kedah mencatatkan 17 kematian, diikuti Johor (13), Selangor (12), Pahang (7), Kuala Lumpur (7), Sabah (5), Melaka (5), Pulau Pinang (4), Negeri Sembilan (3), Sarawak (3), Terengganu (3), Perlis (2), Kelantan (2), dan Putrajaya (1).
Tiada kematian berkaitan Covid dilaporkan di Labuan.
Sehingga tengah malam tadi, terdapat 299,331 kes aktif. Daripada jumlah ini, 374 berada di unit rawatan rapi, dengan 233 memerlukan bantuan pernafasan.
Dilaporkan juga sebanyak 33,009 pesakit pulih. – 17 Mac, 2022.
Komen