'Datuk seri' mengaku tidak bersalah tipu pelaburan Planetrade


SEORANG ahli perniagaan didakwa di dua Mahkamah Sesyen hari ini atas 12 pertuduhan menipu 12 individu berhubung pelaburan Planetrade yang tidak wujud berjumlah RM2.2 juta.

Kyairul Syahirin Ahmad, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-12, Kyairul Syahirin didakwa menipu beberapa individu yang terdiri daripada dua lelaki dan 10 wanita dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dia menjalankan pelaburan melalui Bursa Saham Malaysia.

Perbuatan tertuduh mendorong kesemua mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM2.2 juta ke dalam akaun syarikat milik tertuduh, antaranya Planemax Essentials Sdn Bhd, Planetrade Holdings Sdn Bhd, Planeworld Flexi Sdn Bhd, Planetrade Premier Sdn Bhd, yang mangsa tidak akan menyerahkan wang sekiranya tidak diperdayakan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pejabat di Plaza Arkadia, Desa Park City, Sentul antara 2 Februari hingga 28 November 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi ahli perniagaan, Rozana Mohamed, 54, turut mengaku tidak bersalah di dua mahkamah sama atas 12 pertuduhan bersubahat dengan Kyairul Syahirin untuk menipu 12 individu itu melibatkan pelaburan dan nilai sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Kyairul Syahirin diikat jamin RM120,000 manakala Rozana RM90,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan. 

Mereka juga diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi dan Nur Aqilah Ishak manakala Kyairul Syahirin dan Rozana masing-masing diwakili peguam Ashok Athimulan dan Arik Zakri Abdul Karim.

Pada 4 Mac lepas, Bernama melaporkan polis menahan sembilan individu termasuk seorang lelaki yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Siasatan mendapati lelaki berumur 46 tahun itu merupakan dalang utama kes ini yang memiliki empat syarikat bagi menjalankan kegiatan pelaburan tidak wujud. – Bernama, 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen