Putrajaya digesa pinda undang-undang lindungi pemberi maklumat


Looi Sue-Chern

Timbalan presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng berkata kerajaan berterusan mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat menerusi undang-undang lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2018. 

PUTRAJAYA digesa untuk meminda undang-undang yang melindungi pemberi maklumat, berikutan pemenjaraan Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Rafizi Ramli selama 30 bulan, kerana membocorkan maklumat perbankan. 

Timbalan presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng hari ini berkata, walaupun kerajaan sudah mewujudkan undang-undang yang melindungi pemberi maklumat, ia secara berterusan menggunakan undang-undang lain untuk menghukum mereka. 

Katanya, Rafizi tetap dihukum dan dipenjarakan walaupun mendedahkan skandal RM250 juta National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

“Saya ingin mengkritik keputusan kerajaan Barisan Nasional untuk mendakwa Rafizi. Mereka sebelum ini menyatakan pemberi maklumat tidak akan dikenakan tindakan. 

“Perlindungan pemberi maklumat adalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tetapi mereka masih menggunakan undang-undang lama untuk mengambil tindakan terhadap mereka (pemberi maklumat).

“Undang-undang itu tidak dikemaskini. Sekiranya mereka mahu melindungi pemberi maklumat, undang-undang ini perlu dipinda. Perlu ada pindaan dalam perundangan,” katanya kepada pemberita di Komtar hari ini. 

Pada Rabu, Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan, berhubung kebocoran akaun NFC. 

Kebocoran itu menbawa kepada pendedahan Rafizi mengenai skandal berjuta ringgit pada 2011, membabitkan pembelian unit kondominium mewah oleh syarikat penternakan lembu itu. 

NFC dimilik oleh Mohamad Salleh Ismail, suami kepada ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil. 

Skandal itu kini lebih dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai “skandal lembu dan kondo”.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan persekutuan tidak sepatutnya hanya menawarkan janji mulut dengan mengatakan pemberi maklumat akan diberikan perlindungan. 

Katanya, sekiranya mereka bimbang terhadap maklumat palsu yang digunakan untuk mendakwa pihak lain, terdapat undang-undang lain untuk menyelesaikan masalah itu. 

“Ambil tindakan sivil, seperti failkan saman fitnah. Kamu tidak perlu gunakan undang-undang jenayah.”

Setiausaha agung DAP itu berkata pembangkang sering berdepan dengan ketidakadilan apabila berkaitan undang-undang. 

“Apabila kita berdepan dengan dakwaan, hinaan, dan ancaman, tiada tindakan yang akan diambil.”

Katanya, pembangkang bersolidariti dengan Rafizi, yang kini dalam proses rayuan terhadap hukumannya dan mungkin tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14

Lim turut menyuarakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, yang kini berdepan dengan beberapa kes mahkamah. – 10 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen