Polis rekod keterangan 5 individu bantu siasatan kes bunuh, bakar wanita


POLIS selesai mengambil keterangan lima individu termasuk suspek utama bagi membantu siasatan kes bunuh dan bakar seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata polis berkemungkinan akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes itu dan akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, hanya seorang suspek utama dikenal pasti dan ditahan iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 30-an bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan semakan, suspek yang masih bujang itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun dan saya menyifatkan kes itu amat tragis serta tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan dua van jenazah daripada Pertubuhan Amal Uncle Kentang  Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Sabtu lepas mayat seorang penyelia ditemukan disyaki dibunuh dan dibakar di dalam bilik bengkel sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras. 

Susulan itu, polis  menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan direman tujuh hari hingga 19 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. – Bernama, 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen