Hadi tak ikut perlembagaan PAS, kata Khairuddin


Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali berkata keputusan PAS menyertai PN hanya dibuat oleh presiden dan beberapa pemimpin parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2022.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menggerakkan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) tanpa mengikut perlembagaan parti, kata Khairuddin Aman Razali.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang keluar PAS selepas bergeser dengan Hadi menjelaskan, keputusan menyertai PN hanya dibuat oleh presiden dan beberapa orang pemimpin parti.

“PN ditubuhkan tidak mengikut lunas perlembagaan parti, hanya dengan tandatangan surat oleh presiden parti dan dengan nasihat dua tiga orang saja,” katanya.

Dalam satu wawancara disiarkan Bernama TV itu, Khairuddin berkata ia sepatutnya melalui proses sama sepeti PAS membentuk kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Jelasnya, kerjasama MN bermula dengan kertas kerta peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diangkat dan diluluskan Majlis Syura Ulama.

Seterusnya, usul tersebut dibawa ke muktamar PAS dua kali – pada 2018 dan 2019 sebelum dipersetujui dan deraf berkenaan diperbaiki dan dibawa semula ke jawatankuasa bawahan.

“... Barulah ditandatangani di hadapan ahli dan kepimpinan PAS dan Umno di PWTC pada 14 September 2019. Ini contoh mengikut proses dalam parti tetapi apa jadi pada PN?”

Katanya, proses menubuhkan PN tidak dibawa ke jawatankuasa harian pusat, tiada kertas kerja kepada AJK PAS Pusat, dan tidak diangkat ke Majlis Syura Ulama.

Cadangan itu kemudian diluluskan tanpa dibahaskan dari sudut siasah syarie dan maqasid syariah, kata bekas menteri komoditi itu.

“Ini contoh kesilapan tetapi apa yang berlaku kita diamkan, kita betulkan dalamanan saja,” katanya lagi yang sering kritikal ke atas keputusan parti untuk bekerjasama dengan Bersatu.

Khairuddin mengumumkan keluar parti pada Isnin selepas disingkirkan dari Jawatankuasa PAS Pusat dan juga sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama.

Abdul Hadi pada bulan lalu menjelaskan tindakan pemecatan itu disebabkan Khairuddin melanggar peraturan parti namun tidak memperincikan kesalahan tersebut.

Pemecatan tersebut antara lain dikaitkan dengan satu rakaman mengandungi ucapan Khairuddin yang mengkritik kepemimpinan Hadi.

Mengulas rakaman itu, Khairuddin dalam wawancara dengan Bernama TV mendakwa perbualannya dengan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin itu sengaja dirakam dan dibocorkan pihak tertentu.

Perbualan itu mengandungi aduannya selaku setiausaha Majlis Syura Ulama kepada Hashim sebagai ketuanya, kata Khairuddin.

“Saya mengadu kepada mursyidul am, aduan seorang setiausaha kepada ketuanya mursyidul am tetapi aduannya dibocorkan sehingga menjadi fitnah kepada diri saya sendiri,” katanya. – 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen