Penghuni 22 rumah Taman Bukit Permai 2 diarah kosongkan rumah


Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata 80 penduduk sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 masih belum dibenarkan pulang ke kediaman mereka sementara menunggu kajian lanjut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

SEBANYAK 22 unit kediaman melibatkan 80 penghuni di Taman Bukit Permai 2, di Ampang diarah untuk dikosongkan bermula hari ini kerana keadaan masih tidak selamat dan berlaku pergerakan tanah, kata Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad.

Rumah yang terlibat adalah 15 unit kediaman di Jalan Permai 1; empat unit di Jalan Teratai 1/2J ; dua unit di Jalan Mega Jaya 15 dan satu unit di Jalan Teratai 1/2K.

“Penduduk di kawasan yang dinyatakan masih belum dibenarkan pulang ke kediaman sementara menunggu kajian lanjut daripada agensi-agensi teknikal yang akan diselaraskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melalui Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia).

“Selain itu, laporan siasatan awal oleh semua agensi teknikal telah merumuskan berlaku ketidakstabilan cerun pada lokasi kejadian dan mempunyai implikasi kepada keselamatan penduduk,” katanya dalam sidang media khas di Dewan MPAJ, di Ampang hari ini.

Ani berkata satu taklimat kepada penduduk-penduduk yang terkesan telah diadakan pada hari ini tentang status kestabilan cerun dan keselamatan penduduk dan mereka semua sangat memahami situasi yang dialami.

Mengulas lanjut, Ani berkata pengosongan kediaman itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu atau lebih bergantung kepada kajian susulan yang akan dijalankan oleh Ikram dan Jabatan Mineral dan Geosains.

“Kajian susulan merangkumi kajian ‘siasatan tanah’ yang lebih terperinci selain kerja-kerja bagi penyiasatan tapak terperinci tertakluk kepada keadaan cuaca serta kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan, pemasangan kain tarpal serta pemangkasan pokok oleh MPAJ.

“Selain itu, kerja-kerja pengukuhan sementara cerun berdasarkan kepada keputusan kajian akan dijalankan merangkumi pemasangan cerucuk yang dijangka mengambil masa selama tiga hingga empat bulan dan pembaikan kekal cerun dijangka mengambil masa 15 hingga 18 bulan yang akan dimulakan dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Ani memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun  telah memasang 10 unit sensor pada Jumaat lepas bagi memantau pergerakan tanah di kawasan runtuhan.

“Pemantauan pergerakan tanah melalui sensor berkenaan akan menghantar terus melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang membolehkan tindakan pantas dilaksanakan untuk keselamatan penduduk,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 5.54 petang Khamis lepas meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera selain merosakkan 15 rumah serta 10 kenderaan. – Bernama, 15 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen