Penagih dadah sintetik perlu dirawat secara menyeluruh, kata AADK


PENAGIH dadah sintetik perlu dirawat dari segi ketagihan, kesihatan dan mental, bagi memulihkan mereka daripada terus terbabit dengan ketagihan dadah itu, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon.

Beliau berkata ini kerana penggunaan dadah sintetik secara berlebihan, boleh membawa maut.

“Sekiranya individu itu ketagih ia akan merosakkan mental…cabaran pada kita untuk memulihkan mereka ini adalah memulihkan tahap mental mereka terlebih dahulu. Mereka ini mempunyai masalah kesihatan dan ia memberi kesan kepada individu tersebut untuk menjalani proses pemulihan.

“Pada masa ini, pengguna dadah statetik ini bukan setakat perlu dirawat ketagihannya tetapi masalah kesihatan dan mental juga perlu dirawat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sistem Mycare yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Menurutnya, perkara membimbangkan kini apabila dadah sintetik termasuk syabu dan pil kuda boleh dibeli secara dalam talian, dengan ia dibekalkan individu atau pembekal sendiri menjadi penghantar barang tersebut kepada pembeli.

Sehubungan itu, beliau berkata ibu bapa serta orang ramai perlu berwaspada dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka untuk setiap pembelian barangan dilakukan, tidak kira sama ada secara dalam talian atau bersemuka.

Dalam pada itu Aminuddin berkata program Mycare itu bertujuan membantu klien bukan sahaja dari segi rawatan tetapi pembangunan kerjaya, pengetahuan, kemahiran, keluarga, kesihatan dan keselesaan tempat tinggal.

Beliau berkata bagi memudahkan usaha penyaluran bantuan dan mengoptimumkan penggunaan, sistem MyCare yang dibangunkan Oktober 2021 digunakan bagi menggantikan sistem manual membabitkan proses pengumpulan data klien merangkumi maklumat peribadi, keluarga, anak dan kediaman.

Menurutnya sistem tersebut diharap dapat memberi impak kepada pengurangan kadar penagihan, peningkatan kesejahteraan individu, keluarga dan komuniti serta mengembalikan klien sebagai individu yang berfungsi dalam masyarakat dengan kekal pulih dan bertanggungjawab.

Sementara itu beliau berkata Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sembilan menyasarkan untuk menghijaukan indikator 2 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) yang dikenal pasti di negeri ini iaitu Ampangan dan Rompin sebelum tahun 2025.

Untuk rekod, Negeri Sembilan pada tahun lepas berjaya menghijaukan 13 KBT, dan menghapuskan KBT berindikator merah di seluruh negeri. – Bernama, 15 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen