Bersih gesa Putrajaya segera bentang RUU antilompat parti


Noel Achariam

Bersih berkata pembentangan RUU antilompat parti penting selaras dengan MoU yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

PUTRAJAYA sepatutnya mempercepatkan pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti bagi membuktikan ia serius untuk melakukan pembaharuan, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Jawatankuasa pemandunya berkata pembentangan RUU itu penting selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang.

“Kami menggesa Putrajaya membentangkan RUU itu secepat mungkin dalam sidang Parlimen ini bagi meyakinkan rakyat ia komited dengan perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang.”

Bersih berkata demikian susulan laporan Utusan Malaysia pada 13 Mac, yang memetik sumber Jabatan Perdana Menteri sebagai berkata pembentangan RUU itu akan ditangguhkan.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim awal bulan ini berkata RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini, dan beliau diberi jaminan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana menteri berjanji untuk membentangkan RUU, tetapi kerajaan tidak menafikan kenyataan itu (laporan Utusan),” kata Bersih.

“Kami melihat penangguhan pembentangan RUU dengan kekecewaan dan kebimbangan yang mendalam.

“MoU mengenai transformasi politik yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan menyatakan ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada sidang pertama Sesi Parlimen ke-5.”

RUU itu harus dihantar kepada jawatankuasa pemilih Parlimen untuk semakan selepas bacaan pertama bagi mendapatkan input daripada semua pihak berkepentingan melalui proses yang telus dan partisipatif, tambahnya.

“Semasa pilihan raya Melaka pada November, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan membentangkan undang-undang antilompat parti di peringkat negeri untuk ‘mengukuhkan kestabilan politik di negeri ini’.

“Semasa pilihan raya Johor baru-baru ini, bekas menteri besar Hasni Mohammad juga berjanji, sebagai sebahagian daripada manifesto mereka, yang undang-undang antilompat parti akan menjadi keutamaan Barisan Nasional jika ia menang.”

Bersih berkata memandangkan gabungan itu berjanji untuk menggubal undang-undang di peringkat negeri dan menang di kedua-dua negeri, Putrajaya - yang mana gabungan itu adalah sebahagian daripadanya - tidak sepatutnya menangguhkan pembentangan RUU itu. – 15 Mac 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen