Najib buta kewangan berkaitan hutang 1MDB, kata Tony Pua


Alfian Z.M. Tahir

AHLI Parlimen DAP Tony Pua hari ini menyangkal dakwaan Najib Razak bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh mengaut keuntungan RM9.7 bilion jika Malaysia menjual Bandar Malaysia dan menguatkuasakan jaminan Abu Dhabi sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion).

Najib berkata “memandangkan hanya ada RM17 bilion hutang yang perlu dibayar, jika Malaysia menjual Bandar Malaysia pada harga RM12 bilion dan menguatkuasakan jaminan Abu Dhabi sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion), 1MDB akan mendapat keuntungan sebanyak RM9.7 bilion”.

“Semalam Najib mendakwa 1MDB boleh mengaut keuntungan RM9.7 bilion. Kenyataan ini hanya mengesahkan bekas menteri kewangan kita memang buta kewangan.

“Dia secara salah berhujah jika kita menjual Bandar Malaysia dan menguatkuasakan jaminan Abu Dhabi, 1MDB boleh membuat keuntungan RM9.7 bilion.

“Najib sebagai bekas menteri kewangan menandatangani jaminan back-to-back dengan Abu Dhabi, bagi pihak kerajaan Malaysia dan ini bermakna jika 1MDB gagal membayar semula bon AS$3.5 bilion dan Abu Dhabi dikehendaki memenuhi jaminan itu maka Abu Dhabi boleh membuat tuntutan terhadap kedua-dua 1MDB (yang aset semasanya tidak berjumlah hampir AS$3.5 bilion) dan kerajaan Malaysia. Jadi rakyat perlu membayar tanpa mengira jaminan,” katanya.

Pua berkata Najib tidak dapat membezakan antara “lembaran imbangan” syarikat dan penyata “untung dan rugi”.

Kunci kira-kira biasanya merekodkan aset dan hutang syarikat manakala untung-rugi bercakap tentang hasil terkumpul 1MDB (sangat sedikit) dan kos (termasuk perbelanjaan faedah besar-besaran) sepanjang 13 tahun lalu. Najib menghuru-harakan kedua-duanya, kata Pua.

Beliau berkata tanah Bandar Malaysia adalah milik kerajaan justeru keseluruhan kutipannya harus diserahkan kepada kerajaan.

“Kenapa ia perlu digunakan untuk membayar hutang 1MDB sedangkan 1MDB menambah nilai sifar ke atas tanah itu?,” katanya.

Hari ini nama Najib disebut sebagai salah seorang daripada 16 individu yang berkongsi dana yang dicuri daripada 1MDB mengaut AS$756 juta wang yang diperoleh daripada tawan bon dana kekayaan negara itu.

Speaker Dewan Rakyat pada minggu lalu memberi masa sehingga hari ini bagi Najib menjelaskan kenyataan mengelirukan Dewan mengenai hutang 1MDB. – 15 Mac 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen