China lapor lonjakan mendadak kes Covid-19


Sekurang-kurangnya 11 bandar dan daerah di seluruh China ditutup kerana lonjakan kes terbaru Covid-19. – Gambar EPA, 15 Mac, 2022.

CHINA melaporkan 5,280 kes baharu Covid-19 pada Selasa, lebih dua kali ganda berbanding jumlah hari sebelumnya dan jumlah harian tertinggi sejak permulaan wabak itu.

Wilayah timur laut Jilin paling teruk terjejas, menyumbang lebih 3,000 kes, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

Sejak koronavirus pertama kali muncul di pusat bandar Wuhan pada akhir 2019, China berjaya membendung wabak berskala besar melalui strategi ketat “sifar-Covid”, melibatkan sekatan ketat yang mengehadkan sebahagian besar penduduk di rumah mereka.

Tetapi Selasa adalah hari keenam berturut-turut lebih 1,000 kes baharu direkodkan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Sekurang-kurangnya 11 bandar dan daerah di seluruh negara ditutup kerana lonjakan kes terbaru, termasuk hab teknologi selatan Shenzhen, yang menempatkan 17 juta orang.

Saham Hong Kong menjunam lebih 3% pada Selasa.

Puluhan penerbangan domestik di lapangan terbang di Beijing dan Shanghai dibatalkan pada pagi Selasa, menurut  data pengesan penerbangan.

Wabak di kilang Volkswagen Group di bandar Jilin, Changchun juga menyebabkan tiga kilang ditutup pada Isnin selama sekurang-kurangnya tiga hari, menurut seorang jurucakap.

Beberapa bandar lain termasuk Shanghai turut menutup kawasan kejiranan dan bangunan tertentu, ketika pihak berkuasa berusaha meminimumkan gangguan kepada kehidupan seharian.

Tetapi pegawai kesihatan memberi amaran sekatan lebih ketat mungkin akan berlaku.

Gabenor Jilin berikrar mencapai komuniti sifar-Covid dalam seminggu ketika mesyuarat tergempar pada malam Isnin, lapor media kerajaan.

Penduduk Jilin, yang bersempadan dengan Korea Utara, dilarang keluar dari dan sekitar wilayah itu pada Isnin. – AFP, 15 Mac 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen