PERDANA Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis pada Isnin berkata beliau positif Covid-19 selepas pulang dari perjalanan ke Turki.
“Ujian pantas harian di pejabat memberikan keputusan positif Covid-19,” kata Mitsotakis dalam catatan di Instagram.
“Saya akan mengasingkan diri di rumah dan bekerja dari sana… Saya pasti semuanya akan baik-baik saja dan akan kembali ke pejabat tidak lama lagi,” kata pemimpin berusia 54 tahun itu.
Mitsotakis, yang sudah mendapat vaksin dua kali dan dos penggalak, pada Ahad melawat Turki dan dijemput makan tengah hari oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di rumah agamnya di tebing Selat Bosphorus.
Kedua-dua pemimpin itu bergambar tanpa pelitup muka berdiri bersebelahan sambil mengagumi pemandangan Bosphorus.
Walaupun ketegangan berpanjangan antara Athens dan Ankara, kedua-dua pemimpin itu mencari titik persamaan dalam menghadapi pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Pada petang Isnin, Mitsotakis menulis ciapan di Twitter mengucapkan terima kasih kepada Presiden Erdogan “atas panggilan dan ucapan segera pulih!”
Semasa di Turki, Mitsotakis juga menghadiri upacara keagamaan di Patriarkat Ekumenikal, Istanbul, dan kemudian bertemu Patriarch Bartholomew, 82, ketua agama Kristian Ortodoks.
Kedua-duanya juga bergambar tanpa memakai pelitup muka.
Bartholomew dijangkiti virus itu pada Disember. – AFP, 15 Mac 2022.
Komen