Feudalisme yang menang di Johor


Faisal Tehrani

SATU kegemaran saya setiap kali pilihan raya, di mana pun, ialah mengitar beberapa kawasan pengundian seberapa dapat. Ia saya lakukan selepas pengundian. Bukan sebelum.

Niat saya selalunya untuk merakam kekesalan, kemarahan, atau kehampaan penyokong parti, dan mereka di atas pagar. Hal ini saya lakukan di Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Ada satu saja hal yang saya dapat rumuskan dari kegiatan “turun padang” selepas pengundian di PRN Johor 2022 itu. Ia dinamai feudalisme. Yang menang ialah feudalisme. Ia musuh terbesar demokrasi di negara ini.

Pada 12 Mac 2022, selepas tengahari saya mulai memulai turun padang. Saya merentas Segamat, menempuh sebahagian Jementah. Di sini, masyarakat Cina di Kampung Baru, dan sebahagian kecil Melayu bandar di Jalan Temenggong mengundi calon DAP (dan beliau, yang nama julukannya Ayu telah menang). 

Saya kemudian masuk ke kawasan pedalaman menuju Bukit Kepong, di sebuah kawasan yang ditandingi oleh wakil Muda. Di sini saat berkitar, saya melihat ladang-ladang sawit yang luas dan berjarak. Malah kediamansangat langka terpencil. 

Saya difahamkan anak muda tempatan memilih untuk keluar dari kampung ke pekan untuk memburu peluang pekerjaan. Mereka kurang berminat dengan aktiviti pertanian dan perladangan. 

Di pekan Bukit Kepong, berdekatan galeri insiden bersejarah Bukit Kepong saya diberitahu peniaga bahawa dahulunya di sungai Muar itu menjadi punca rezeki. Ikan terbiasa ialah ikan patin, ikan baung dan ikan lais serta udang galah.

Namun demikian, masalah pencemaran sungai oleh kilang, khusus kilang getah telah membuatkan hasil tangkapan itu semua berkurangan. 

Mereka juga menjelaskan pekan Bukit Kepong amat mudah dilimpahi banjir setiap kali musim hujan.

Untuk pertanyaan mengapa mereka membuat pilihan untuk memangkah calon Barisan Nasional sedangkan parti itu adalah parti yang bergelumangan dengan rasuah dan korupsi, jawapan yang diberikan kepada saya sangat mudah: “Kita orang Melayu mesti setia bang kepada pemimpin.”

“Meskipun korup dan jahat?” Sengaja saya menduga.

“Korup dan jahat itu dia dengan Tuhan. Tugas kita setia dan taat.”

“Tapi Allah, dan Nabi tak suruh kita taat kepada pemimpin jahat?” Terus saya mengacah.

“Korup pun bukan mereka itu Firaun bang. Lagipun, siapa yang boleh jadi Nabi Musa?”

Setelah perbualan yang mencengangkan itu — kerana mendakwa Islam mengizinkan memilih pemimpin korup dan rasuah — saya mengitar lagi di sekitar pekan berhampiran dengan Bukit Kepong iaitu Lenga, sehingga masuk ke Pagoh. Di Pagoh, sepanduk, bunting dan poster Perikatan Nasional (PN) berkibaran melambai-lambai.

Seorang wanita muda seusia saya yang ditemui di Pagoh memberitahu dia mengundi Pejuang.

Nampaknya beliau antara 18,692 orang atau 1.34% yang memilih parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang disebut-sebut berprestasi buruk ketika PRN ini.

Untuk soalan, mengapa dia memangkah Pejuang, wanita itu menjelaskan: “Sebab terlalu banyak yang Tun Mahathir lakukan untuk orang Melayu. Kalau ada pembangunan yang kita dapat hari ini semuanya datang dari zaman pentadbiran Dr Mahathir. Kita kalau tak setia dengan apa yang dah kita dapat, kita bodohlah.”

“Tapi pemimpin lain juga mengaku memberikan pembangunan.”

“Kita tak tahu apa dia,” demikian balas wanita tersebut.

“Mengapa tidak Abah? Banyak poster dia sekitar Pagoh ini?” Saya cuba mencungkil.

“Saya tak suka PAS. Kita tengok tak ada apa yang PAS buat di Kelantan.”

Dan wanita ini mengaku beliau bukan ahli Pejuang, yang mana parti tersebut hanya memiliki sekitar 7 ribu orang anggota di negeri ini.

Untuk rekod, 599,753 pengundi memilih Barisan Nasional (BN) di Johor. Mungkin mereka yang lebih sedikit setengah juta ini mewakili sikap “korup pun bukan mereka itu Firaun dan siapa yang boleh jadi Nabi Musa?”

Manakala pengundi PN adalah 334,457 orang iaitu menyamai 24.045%. Mereka sama ada ahli Bersatu yang kekal setia dengan Muhyiddin, atau ahli PAS di negeri tersebut.

Jika dijumlah dengan pengundi Pakatan Harapan iaitu gabungan DAP dan Amanah (PKR tidak begitu signifikan) mereka adalah 367,525 atau 26.42%. Campur dengan pengundi Muda 48,072 iaitu 3.46% berserta parti-parti kecil lain, penolakan terhadap BN adalah mengatasi. 

Akan tetapi kekuatan mereka yang banyak ini menurut saya tidak dapat menghakis feudalisme tebal. 

Di Muar, kawasan Syed Sadiq bekerja kuat untuk kawasannya (dihujahkan berdasarkan apa terlihat di media sosial) saya bertanyakan beberapa orang pengundi yang telah melunasi tanggung jawab mereka. 

Pertanyaan saya adalah mengenai pendedahan terbaru yang terbit di sebuah portal berita lain pada 10 Mac 2022 lalu. Saya petik awalan penyiasatan berita itu yang berbunyi begini:

“Sebuah projek tambak laut milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di luar perairan pantai Muar, Johor kemungkinan dimulakan seawal tahun ini. Saiz projek itu adalah sama seperti projek Forest City di Selat Johor, yang juga mempunyai kepentingan Sultan Johor. Projek baru di Selat Melaka itu tidak akan mengikut konsep Forest City yang merupakan pembinaan pembangunan kediaman bersepadu dan dijual kepada pasaran global, yang amat popular di kalangan warganegara China, tetapi kini bergelut disebabkan sekatan pelaburan luar pesisir Beijing yang dikenakan ke atas penduduknya. Projek terbaru yang dinamakan Maharani Energy Gateway itu bertujuan untuk mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar, kira-kira satu perempat saiz Putrajaya.”

Jawapan yang diberikan kepada saya, oleh salah seorang remaja lelaki (pertama kali mengundi) ialah: “Kalau yang bertanding pun tak ada siapa berani bantah, takkan kami boleh bantah, bang? Bolehkah pengundi buat bantahan? Ada ke terdaya? Kalau mak bapak kami pun pilih taat setia angkat sembah, siapa kita bang?”

Hal ini membawa kita kepada perenggan lain dari tulisan Rosli Khan di sebuah portal berita yang lain pula bahawa:

“Isu besar, iaitu sistem feudalisme yang semakin menebal dan bergerak bebas, tidak disebut langsung. Perkara ini melibatkan rakyat Johor yang telah lama tertindas dan jarang dibangkitkan, tidak disuarakan oleh saudara dan pembangkang yang lain. Tidak ada keberanian, bererti kempen PRN itu berada dilandasan ketakutan.”

Buat seorang pengundi Tangkak yang memilih Pakatan Harapan (PH), beliau mengatakan kepada saya begini: “Memanglah Anwar Ibrahim dah patut pergi, tapi kalau dia berambus siapa nak gantikan dia?”

Saya mengacum, “Kalau Rafizi? Kalau Izzah? MB Selangor? Pemimpin PKR bukan sedikit…”

Jawapan yang saya terima begini: “Anwar yang pimpin reformasi, bang, kita kena setia dengan orang yang teroka jalan reformasi.”

“Meskipun umurnya dah 70 tahun lebih?”

Dia hanya membalas saya dengan muka masam.

Jika pembaca perasan dengan semua kata kunci dialog yang diberikan kepada saya, mereka menyebut-nyebut istilah atau perkataan “setia”. Saya menerjemahkannya sebagai feudalisme. 

Pengundi Johor yang memilih BN, sanggup setia membabi buta kepada pemimpin dan parti meskipun terbukti di mahkamah pemimpin mereka rasuah dan korup serta menggubah wang haram.

Mereka malah berani menyandarkan kepada Islam untuk memilih pemimpin yang tidak begitu jahat seperti Firaun. 

Pengundi yang memilih PH, sanggup setia kerana tidak nampak pimpinan lain selain ketua pembangkang sedia ada. Tidak melihat selain Anwar atau Lim Guan Eng, atau Mohamad Sabu adalah satu isyarat bermasalah. Bahawa kita ketandusan pemimpin. 

Yang lebih menghempuk emosi ialah setia yang lebih menggerunkan iaitu sanggup menggadai maruah dan tanah, kerana jiwa hamba itu kuat. Iaitu sikap ‘ada ke terdaya?’ Sikap itu datang daripada pengundi baharu, orang muda yang sepatutnya gejolak menolak kebatilan itu harus lebih.

Untuk para pengundi, rata-rata rasuah bukan hal utama. Bahkan, hujah yang katanya daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz sering pula disandarkan. “Duit itu duit kita juga, ambillah; tapi pangkah yang lain.”

Rasuah adalah rasuah. Sogokan ketika politik berlaku berleluasa di Johor. 

Rasuah, dan kepincangan politik di negara ini datang dari satu penyakit yang sama: feudalisme. Ini yang parti politik terlupakan ketika PRN Johor. 

Semua tiada melawan (termasuk Pejuang). Kerana mereka menyangka feudalisme boleh menjadi rakan manja yang mereka percaya boleh dilunakkan. – 15 Mac 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen