MALAYSIA dan Mesir melihat prospek signifikan bagi pengembangan pasaran minyak sawit yang lebih besar melalui usaha sama dengan syarikat Mesir dalam pemindahan teknologi, kepakaran serta modal, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Beliau juga menyeru semua peneraju perniagaan, korporat dan penggerak industri untuk merebut peluang selain mengembangkan lagi perdagangan dan kerjasama perniagaan Malaysia-Mesir ke tahap selanjutnya.
“Tahun lalu, Mesir kekal sebagai rakan perdagangan terbesar kami di rantau Afrika Utara dan menjadi antara enam rakan perdagangan terbesar di Malaysia di Afrika.
“Perdagangan dua hala kami meningkat sebanyak 84.4% kepada hampir AS$1 bilion berbanding 2020,” kata Azmin semasa berucap pada majlis makan malam rangkaian sempena lawatan kerja Menteri Luar Negeri Mesir, Sameh Hassan Shoukry.
Peningkatan eksport Malaysia sebahagian besarnya disumbang oleh lonjakan permintaan bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit Malaysia, manakala peningkatan import dari Mesir merangkumi permintaan untuk buah-buahan dan produk petroleum.
Sameh Shoukry sedang dalam lawatan sulung selama tiga hari ke Malaysia bermula hari ini untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, selain mencerminkan kesatuan penyelesaian bagi meningkatkan kerjasama.
Azmin ketika bercakap mengenai pelaburan Malaysia di Mesir berkata, Petronas melabur lebih daripada AS$9.0 bilion sejak 2003, manakala Proton mencapai tahap baharu dengan pemasaran Exora dan Saga di negara berkenaan.
“Malaysia amat menghargai peluang yang diberikan kepada pelabur kami untuk mengambil bahagian dalam sektor minyak dan gas serta pasaran automotif Mesir,” katanya.
Beliau juga menegaskan mengenai kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan keperluan untuk memaksimumkan potensi penuh, khususnya dalam hubungan ekonomi serta perdagangan, yang mana, Malaysia dan Mesir bersetuju platform yang sesuai seperti jawatankuasa perdagangan dan pelaburan bersama boleh berkhidmat sebagai mekanisme berkesan untuk memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan.
Sementara itu, Sameh Shoukry melahirkan minat bagi terus membangunkan hubungan perdagangan dan pelaburan, sambil membuka jalan untuk komuniti perniagaan meningkatkan hubungan komersial serta pelaburan mereka.
“Saya juga agak teruja selepas mengetahui Majlis Perniagaan Mesir-Malaysia akan diaktifkan semula dan dengan itu boleh meneruskan peranan penting dalam menonjolkan potensi perniagaan besar antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau menegaskan kisah kejayaan Malaysia dalam pembangunan industri dan teknologi akan terus menjadi inspirasi buat Mesir termasuk banyak negara lain yang sedang membangun.
“Kami melihat eksperimen Malaysia dengan penuh rasa kagum termasuk dengan mengkaji bagaimana Malaysia cuba menyesuaikan diri dengan revolusi perindustrian keempat dan mengamalkan teknologi canggih,” katanya.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong dan Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar. – Bernama, 14 Mac, 2022.
Komen