Melaka rancang bina terowong rentas Selat Melaka, kata ketua menteri


Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri merancang untuk membina terowong dasar laut menghubungkan negeri itu dengan Dumai, Indonesia. – Gambar Facebook, 14 Mac, 2022.

KERAJAAN negeri merancang untuk membina sebuah terowong dasar laut bagi rangkaian sistem rel yang menghubungkan Melaka dan Dumai di Indonesia.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata mengikut perancangan, terowong itu akan dibina merentasi Selat Melaka.

“Ini adalah perancangan jangka panjang. Jarak paling hampir antara Melaka dan Dumai ialah 47 kilometer,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia hari ini.

Mengulas perkara sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini, sebuah firma menyatakan minat untuk membina terowong itu.

Beliau berkata bagaimanapun, projek itu memerlukan persetujuan dan kelulusan kerajaan Indonesia sebelum pembinaannya dijalankan.

“Firma dari Malaysia hanya mampu menampung 50 peratus daripada kos keseluruhan projek.

“Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan terowong itu akan mengambil masa empat ke lima tahun,” katanya.

Projek itu dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih tinggi bagi Melaka.

Ketika ini, ekonomi Melaka banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan namun sektor pembuatan juga semakin menunjukkan peningkatan. – Bernama, 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen