HAKIM Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengetuai kes rasuah SRC International Sdn Bhd sepatutnya mendedahkan peranannya dalam pemerolehan pinjaman melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau mendakwa Nazlan sebelum ini merupakan penasihat undang-undang Maybank yang merupakan antara yang memberikan pinjaman bersindiket sebanyak RM4.17 bilion kepada 1MDB bagi membiayai sebahagian pembiayaan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.
“Ia melalui pelbagai proses, pinjaman RM6.71 bilion, (sebahagian daripadanya) adalah pinjaman bersindiket RM4.71 bilion untuk membiayai Tanjong di Maybank,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Shafee berkata jawatankuasa risiko, seluruh lembaga pengarah, jawatankuasa itu dan Nazlan, yang merupakan penasihat undang-undang kumpulan, terlibat dalam proses itu.
“Salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapat arahan ialah ketua undang-undang, penasihat undang-undang kumpulan, ketua nombor satu bahagian korporat dan undang-undang iaitu Nazlan, hakim yang mendengar kes SRC (terhadap Najib),” katanya.
Shafee berkata Nazlan sepatutnya mengelak daripada mendengar perbicaraan rasuah SRC International RM42 juta bekas perdana menteri Najib Razak kerana SRC International adalah anak syarikat 1MDB.
“Beliau (Nazlan) sepatutnya hilang kelayakan (daripada perbicaraan SRC) kerana beliau akan jadi saksi di sini (perbicaraan 1MDB Najib).
“Beliau sepatutnya mendedahkan ketika ditugaskan untuk kes SRC.
“Jika pihak pendakwaan tidak memanggilnya, kami akan panggilnya. Beliau (Nazlan) melalui proses itu dan beliau akan menilai (kes SRC International).
“Beliau akan memberi pendapat tertentu, terutamanya apabila syarikat (1MDB) gagal membayar (pinjaman).”
Shafee mendakwa 1MDB gagal membayar kerana wang itu diambil olehahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
“Sebahagian besar bon telah disalurkan kepada Jho Low. Bagaimana anda (Nazlan) boleh dengar (kes SRC International) yang merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB?
“Sepatutnya beliau dedahkan beliau dalam Maybank, saya (Nazlan) kena uruskan 1MDB. Tapi, tiada pendedahan.
“Kami baru tahu perkara ini tiga hari lepas. Kami akan buat permohonan lain untuk dapatkan bukti.”
Pada 8 Disember, Najib gagal membatalkan sabitan dan hukuman atas tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Rayuan.
Panel tiga anggota yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil menyampaikan keputusan sebulat suara dalam prosiding hibrid.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada Julai tahun lepas. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – 14 Mac, 2022.
Komen