PENDAKWAH Islam kontroversi Dr Zakir Naik hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau tidak memiliki kelayakan akademik tentang perbandingan agama namun dapat beri syarahan di Universiti Al-Azhar kerana belajar sendiri.
“Tidak semestinya perlu masuk belajar sebelum mengajar orang lain tentang perbandingan agama,” katanya dipetik The Edge ketika disoal peguam Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, Razlan Hadri Zulkifli.
Zakir memberi keterangan dalam saman fitnahnya terhadap Ramasamy dari DAP. Zakir mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramasamy atas empat dakwaan kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan pada 10 April 2016; 1 Oktober 2017; 11 Ogos 2019; dan 20 Ogos 2019.
Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai pendidikan formal tentang perbandingan agama dalam Islam, Hindu atau Kristian, Zakir yang merupakan seorang doktor perubatan berkata, tidak wajib baginya berbuat demikian.
Razlan: Namun, tidakkah anda fikir anda perlu sekurang-kurangnya menjalani beberapa jenis kursus dalam perbandingan agama sebelum bercakap mengenai agama lain selain Islam?
Zakir: Bukan untuk saya, mungkin untuk orang lain.
Razlan: Jadi anda kata anda tidak ada kelayakan formal (akademik) dalam perbandingan agama, iaitu Islam, Hindu dan Kristian?
Zakir: Saya seorang autodidact (belajar sendiri).
Zakir turut mengakui beliau dapat bercakap bahasa Arab, membaca sedikit bahasa Sanskrit tetapi tidak tahu bahasa Aram, bahasa asal bible.
Razlan: Adakah anda akan terima orang yang tidak ada pengetahuan (dalam) bahasa Arab untuk jadi pakar dalam Islam?
Zakir: Ya.
Beliau berkata seseorang tidak perlu menguasai bahasa tersebut untuk menjadi pakar dalam perbandingan agama.
Zakir berkata beliau diiktiraf sebagai pakar dalam bidang perbandingan agama walaupun tidak mempunyai kelayakan seperti itu.
Beliau turut menyebut beberapa anugerah yang diterimanya sebagai bukti.
Beliau menamakan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal I, anugerah Islam Antarabangsa Dubai dan anugerah tokoh Maal Hijrah yang diberikan oleh Malaysia sebagai sebahagian daripada pengiktirafan yang diberikan kepadanya. – 14 Mac, 2022.
Komen