Saksi akui Najib tidak campur tangan siasatan PAC mengenai 1MDB


Noel Achariam

Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah berkata pengurusan 1MDB tidak disiasat secara menyeluruh seperti yang sepatutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.

NAJIB Razak tidak campur tangan dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata seorang saksi kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bekas perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya kepada saksi pendakwaan ke-12 jika Najib menghentikan siasatan oleh PAC pada 2016, namun Azmi berkata tidak.

Shafee: Jika PM berada di belakang skandal 1MDB, anda bersetuju beliau akan menghentikan siasatan PAC.

Azmi: Ya.

Shafee: Perdana menteri tidak menghalang siasatan ini daripada dijalankan?

Azmi: Tidak, beliau tidak.

Shafee memberitahu mahkamah PAC mendapati pengurusan 1MDB mengelirukan lembaga pengarah.

Beliau membacakan laporan PAC yang menyatakan berdasarkan laporan akhir Jabatan Audit Negara dan penjelasan 1MDB, terdapat batasan dan kelemahan dalam tadbir urus yang dibuat oleh pengurusan 1MDB dan lembaga pengarah.

PAC juga percaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mesti bertanggungjawab di atas kelemahan dan kesilapan itu.

Ia menambah agensi penguatkuasaan undang-undang mesti menjalankan siasatan lanjut ke atas Shahrol dan pihak lain yang terbabit daripada pengurusan 1MDB.

Shafee berkata, pengurusan 1MDB bagaimanapun tidak disiasat secara menyeluruh seperti yang disyorkan dan tiada seorang daripada mereka didakwa sehingga hari ini.

“Satu-satunya orang yang didakwa adalah Najib yang tidak berada dalam syarikat (1MDB) pun,” katanya.

Kepada soalan lain, Azmi berkata, beliau percaya tidak melakukan apa-apa kesalahan, jika tidak kontraknya sebagai CFO tidak akan diperbaharui.

“Kontrak saya diperbaharui (oleh Najib). Jadi, pada pandangan saya, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika itu.”

Bagaimanapun Shafee tidak bersetuju dengan hujah itu.

“Kami tidak boleh membenarkan hanya kerana kontrak anda diperbaharui, anda tidak bersalah.

“PAC bukan menguruskan 1MDB. Jadi siapa yang memperbaharui kontrak bukanlah isu di sini.”

Katanya, isu utama PAC mengesyorkan agar Shahrul dan pihak pengurusan lain disiasat.

“PAC meminta pihak berkuasa untuk menyiasat 1MDB. Pada masa itu anda berada dalam 1MDB kerana anda memegang jawatan CFO.

“Jika lembaga itu tersilap dan sepatutnya mengendalikan syarikat itu, bagaimana anda boleh menyalahkan Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu (pada 2016) untuk mengurus mikro?”

Azmi bagaimanapun berkata, pihak pengurusan sudah disiasat tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB. Beliau menghadapi 25 pertuduhan - empat kerana salah guna kuasa dan 21 bagi pengubahan wang haram - susulan kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.

Kes itu dibicarakan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan akan diteruskan untuk pengurusan kes pada jam 2.30 petang esok kerana Najib perlu menghadiri perbicaraan rayuan JPP di Mahkamah Persekutuan pada sebelah pagi. – 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen