KERAJAAN Negeri Sembilan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau dalam waktu terdekat, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam peringkat memperincikan beberapa perkara dalam SOP itu selain menunggu untuk perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Mengenai jarak saf, kami tak tahu lagi keadaannya tapi kami sediakan dua SOP, kami akan pilih yang mana satu. Kalau rapat (saf) ada caranya, bukan rapat macam dulu, kami ada cara kami… mungkin satu sejadah seorang, ia juga digunakan di negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penghargaan pesara pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan 2021 di Seremban hari ini.
Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilapor mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Sementara itu, mengulas cadangan seorang pensyarah bagi menukar nama Port Dickson kepada nama asalnya bertujuan memelihara sejarah, Aminuddin berkata, keadaan itu perlu dilihat daripada rasionalnya memandangkan nama Port Dickson sudah terkenal dengan produk pelancongannya.
“Kalau kita nak ubah pastinya memberikan kekurangan, nak jual balik nama baru itu nanti akan mengambil masa, jadi dari segi penjenamaan itu bukan mudah, prosesnya tidak mudah… seperti kita lahirkan sesuatu yang baru dan terus perkenalkan kepada luar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tidak memihak kepada PH satu mesej jelas bagi memperbaiki dan memperkuatkan semula parti itu.
“Saya rasa kita kena respons segera kepada perkara itu terutama apabila orang tidak keluar mengundi, yang penting untuk beri kesedaran demokrasi itu harus disuburkan kembali dan kita tak nak nanti politik dilihat membosankan dan akhirnya merugikan negara,” katanya. – Bernama, 14 Mac, 2022.
Komen