PEMERHATI melihat, amaran PAS kepada ahlinya untuk tidak melanggar ikrar setia bai’ah sekiranya mahu kekal selamat menunjukkan parti itu mempolitikkan agama untuk melahirkan anggota yang taksub.
Pengkaji gerakan politik Islam, Dr Maszlee Malik berkata PAS tidak seharusnya mengeluarkan amaran yang mengaitkan isu politik dengan ketentuan ilahi seperti itu.
“Adapun mengaitkan isu politik dengan isu qada dan qadar hanya akan mengundang permainan tuding-menuding di atas nama Tuhan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang membidas dakwaan bahawa sumpah bai’ah dalam PAS sebagai satu pendekatan ekstrem dan hanya memberi kesan buruk.
Beliau menyatakan demikian untuk menjawab kritikan yang timbul ke atas PAS, susulan amaran kepada ahli parti supaya tidak melanggar bai’ah – agar tidak menerima nasib seperti dua bekas pemimpinnya, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Amaran itu timbul ekoran tindakan Istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran dari Husam dan Wan Rahim, yang kini memimpin parti serpihan PAS, Amanah.
Nik Muhammad yang mempertahankan ikrar kesetiaan PAS itu mendakwa, bai’ah adalah satu perbuatan sunnah Rasulullah yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali ketika baginda masih hidup.

Namun menurut Dr Maszlee, perbandingan antara ikrar dilakukan PAS dengan bai’ah semasa zaman Nabi Muhamad itu tidak kena.
Jelasnya, bai’ah yang digunakan dalam PAS itu dibuat untuk menghalang ahli parti dari menegur dan membetulkan kesalahan para pemimpinnya.
Beliau juga melihat, bai’ah PAS itu lebih kepada budaya organisasi yang tidak berasaskan undang-undang, seperti diamalkan kumpulan persaudaraan atau organisasi rahsia.
“Sebagai sebuah parti politik yang terdedah kepada perubahan haluan dan pendekatan serta strategi, pengamalan bai’ah hanya akan menjadi wasilah untuk melahirkan pengikut yang taksub semata mata,” katanya lagi. – 10 Februari, 2018.
Komen