Sultan Mizan lancar buku sejarah, perkembangan DUN Terengganu


Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menurunkan tandatangan bagi melancarkan buku Sejarah dan Perkembangan DUN Terengganu hari ini. – Gambar Facebook, 14 Mac, 2022.

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan pelancaran buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Buku itu memuatkan himpunan sejarah perkembangan badan legislatif negeri itu, sejak pertama kali diwujudkan secara rasmi pada 1959, iaitu sebaik selesai Pilihan Raya DUN kali pertama selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Yang Dipertua DUN Terengganu Yahaya Ali, berkata buku itu mempunyai nilai yang sangat besar baik dari segi sejarah, mahupun nilai estetikanya bagi Terengganu.

“Dalam tempoh selama 63 tahun ini saya yakin semua pimpinan DUN kita sudah melakukan usaha terbaik di zaman masing-masing bagi membina sebuah badan legislatif negeri yang bersifat Islamik. Pada masa sama ia sedang bergerak dengan lebih demokratik, meraikan suara rakyat dan mempunyai hubungan yang inklusif dengan masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran buku berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Katanya, sebahagian besar kandungan buku itu turut memuatkan gambar istiadat keberangkatan Tuanku Sultan di zaman pemerintahan baginda sempena acara pembukaan penggal baharu persidangan DUN Terengganu, khususnya bagi menyampaikan titah ucapan diraja.

“Usaha bagi mengumpulkan bahan untuk menerbitkan buku bersejarah ini sudah tentu tidak mudah dan mengambil masa lebih setahun kerana ia mengenai sejarah lama, justeru saya merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, buku itu adalah naskhah kedua yang diterbitkan oleh DUN selepas buku pertama bertajuk ‘Pemantapan DUN-Perkembangan dan Masa Depan’ yang dilancarkan pada 2020. – Bernama, 14 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen