Hasni sahkan Zahid menghadap Sultan Johor petang ini


Calon menteri besar Johor Hasni Mohammad mengesahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor petang ini berhubung pelantikan menteri besar selepas kemenangan BN pada pilihan raya negeri baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.

PRESIDEN Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung pelantikan menteri besar Johor petang ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.

“Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, Presiden (Umno) kemudiannya menghadap (Sultan Johor),” kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan Umno Johor, sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dari 56 kerusi yang dipertandingkan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.

Semasa kempen, Ahmad Zahid menamakan Hasni, yang juga Adun Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baharu sekiranya parti itu memenangi PRN Johor. – Bernama, 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen