TABIKA milik kerajaan bukanlah “kelas kedua” untuk pendidikan kanak-kanak, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata ibu bapa bukan Melayu tidak perlu teragak-agak menghantar anak mereka ke Tabika Perpaduan.
“Dulu tidak ada logo, tiada pakaian seragam tetapi kini kita telah naik taraf kemudahan di Tabika Perpaduan supaya ibu bapa yakin ini bukan tempat ‘kelas kedua’ di mana anak-anak dididik,” katanya di Parlimen hari ini.
Wan Fayhsal berharap pemantapan pendidikan awal kanak-kanak melalui Tabika Perpaduan untuk 2021-2030 akan menarik lebih ramai ibu bapa bukan Melayu.
Beliau menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian), yang bertanya mengenai rancangan kementerian untuk menambah bilangan kemasukan pelajar bukan Melayu di prasekolah ini di seluruh negara, kerana beliau mendakwa ramai ibu bapa lebih gemar menghantar anak mereka ke tadika swasta.
Wan Fayhsal berkata terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah pelajar berdaftar seramai 37,319 orang.
Katanya, komposisi pelajar Tabika Perpaduan kini terdiri daripada Melayu sebanyak 76 peratus, India (6%), Cina (2%), Kadazan (2%), Iban (3%) dan lain-lain (10%).
Wan Fayhsal mengakui cabaran yang dihadapi kementerian untuk menarik kaum lain ke Tabika Perpaduan tersebut namun berkata ia juga sangat bergantung kepada lokaliti prasekolah tersebut.
“Ini (peratusan pelajar mengikut kaum) bergantung kepada lokaliti.
“Ia ada kaitan dengan proses urbanisasi, demografi tempatan yang menuntut penubuhan tadika ini dan ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke tabika ini.
“Kementerian akan menilai sama ada ia dapat buka Tabika Perpaduan di tempat yang mempunyai demografi berbilang kaum,” katanya.
Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 merupakan inisiatif kementeriannya yang memfokuskan kepada penghayatan Rukun Negara dan penerapan nilai-nilai murni di Tabika Perpaduan. – 14 Mac, 2022.
Komen