22,535 kes baharu Covid-19, 87 kematian


Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam yang paling rendah sejak 15 Februari, di mana 22,133 kes dilaporkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.

KES jangkitan harian Covid-19 menurun untuk hari kedua berturut-turut apabila Malaysia merekodkan 22,535 kes baharu semalam, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Jumlah kes semalam juga yang paling rendah sejak 15 Februari, di mana 22,133 kes dilaporkan.

Angka terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sejak pandemik kepada 3,823,571 kes.

KKM turut melaporkan 87 kematian akibat Covid-19 semalam, meningkat berbanding 77 kes hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 25 ialah kematian di luar hospital.

KKM sebelum ini berkata jumlah kematian itu bukan dalam tempoh 24 jam tetapi ia dilaporkan oleh pusat perubatan kepada kementerian dalam rangka waktu 72 jam.

Ini bermakna 87 kematian berlaku dalam tempoh tiga hari lalu.

Jumlah kematian setakat ini ialah 33,807 dengan 7,043 kematian di luar hospital.

Bagi pecahan kes semalam, Selangor melaporkan kes jangkitan tertinggi iaitu 5,345 diikuti Kedah (2,332) dan Johor (1,973).

Lembah Klang termasuk Selangor, Kuala Lumpur (1,594) dan Putrajaya (121) melaporkan 7,060 kes atau 31% daripada keseluruhan kes dilaporkan semalam.

Negeri lain merekodkan kes baharu ialah Negeri Sembilan (1,950), Pulau Pinang (1,548), Sarawak (1,354), Pahang (1,352), Perak (1,292), Terengganu (1,039), Kelantan (1,005), Sabah (845), Melaka (563), Labuan (133) dan Perlis (89).

Sementara itu, Johor yang mengadakan pilihan raya negeri pada Sabtu, melaporkan jumlah kematian tertinggi iaitu 22, dengan tiga daripada kematian di luar hospital.

Selangor melaporkan 18 kematian diikuti Perak (10), Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (masing-masing 6 kes), Pahang (5), Kedah dan Kelantan (masing-masing 4), Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu (masing-masing 3), Sarawak (2) dan Sabah (1). – 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen