Pakatan perlu henti tumpu isu 1MDB untuk raih undi, kata Ramasamy


Pemimpin DAP P Ramasamy berkata Pakatan Harapan perlu hentikan memberi tekanan kepada isu 1MDB sekiranya mahu menangi hati pengundi pada PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.

PEMBANGKANG mengalami kekalahan berturut-turut dalam pilihan raya kerana gagal menyerlahkan isu rakyat yang mendesak tetapi terus memainkan skandal 1MDB untuk memenangi undi, kata P Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata kempen berterusan menentang skandal kewangan 1MDB dan penglibatan bekas perdana menteri Najib Razak mungkin memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu tetapi ia tidak begitu pada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri berikutnya.

“Dengan menumpukan perhatian terhadap isu ini mungkin pembangkang telah mengabaikan kepentingan lain pengundi,” kata pemimpin DAP itu.

“PH tidak berupaya untuk pecahkan halangan budaya sokongan kepada BN/Umno yang memberi kesan kepada mereka.

“Ironinya, penjahat politik Najib telah menjadi seperti hero rakyat kepada pengundi majoriti Melayu dan beberapa kumpulan dalam kalangan bukan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kemenangan Barisan Nasional di Melaka dan Johor baru-baru ini seolah-olah membayangkan bahawa semua publisiti buruk tentang keterlibatan Umno atau BN dalam rasuah dan salah laku kewangan tidak cukup untuk menyingkirkan gabungan itu daripada arus perdana politik Malaysia.

“Tidak kisah dengan peratusan keluar mengundi yang lemah dalam pilihan raya negeri Johor, hakikat bahawa BN memenangi majoriti kukuh 40 daripada 56 kerusi menunjukkan ada sesuatu yang benar-benar merugikan sistem politik Malaysia.

“Ia tidak ada sebab untuk menyalahkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu lebih sedikit daripada 50 peratus dan undi popular sebagai faktor kegagalan untuk menggulingkan BN.”

Beliau berkata dengan tekanan Umno supaya pilihan raya umum diadakan tidak lama lagi, PH perlu mengambil tindakan agar ia muncul sebagai pembangkang yang boleh dipercayai atau menggerunkan, atau untuk memberi pengaruh terhadap kuasa persekutuan.

“Namun, rantai yang mengikat PH perlu diteliti dan diputuskan.

“Perpecahan dalaman mesti ditangani secara serius dalam PH walaupun dalam perkara mudah seperti penggunaan logo gabungan itu.

“Penggunaan logo parti oleh PKR hampir tidak memberi sebarang perbezaan dalam keputusan pilihan raya di Johor baru-baru ini,” katanya.

Pada pilihan raya Johor pada Sabtu, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, PH dengan hanya DAP dan Amanah menang 11, manakala PKR yang menggunakan logo sendiri memenangi satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin memenangi tiga kerusi, dengan bekas perdana menteri menggelar diri mereka sebagai “underdog”. Muda parti berasaskan pemuda, juga sekutu PH, memenangi satu kerusi.

Tiada satu pun parti pembangkang lain – Pejuang, Warisan, PSM, Parti Bangsa Malaysia dan Putra – memenangi sebarang kerusi.

Sebelum ini, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam pilihan raya negeri Melaka. Perkongsian BN dan PN sebelum ini turut menang di Sabah, manakala di Sarawak GRS yang bersekutu dengan PN memenangi negeri itu.

Dalam semua pilihan raya ini, pembangkang, khususnya PH, menunjukkan prestasi yang teruk.

Perjalanan suram mereka bermula dengan beberapa siri pilihan raya kecil sejurus selepas PRU14.

PH kehilangan kuasa persekutuan selepas 22 bulan berikutan penarikan diri Bersatu daripada pakatan pada Februari 2020. – 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen