Pakatan perlu perbetul kelemahan untuk menentang BN, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan perlu memperbetulkan kelemahannya dan menunjukkan pendekatan bersatu untuk menentang Barisan Nasional (BN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

PAKATAN Harapan perlu memperbetulkan kelemahannya dan menunjukkan pendekatan bersatu untuk menentang Barisan Nasional (BN), kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha agung DAP itu berkata pihaknya juga menerima keputusan rakyat Johor yang membenarkan BN menang besar dalam pilihan raya negeri semalam.

“DAP dan PH perlu memperbetulkan kelemahan kita, terutamanya dalam menyampaikan kepada orang ramai tentang kesatuan menentang BN di bawah pendekatan “Khemah Besar”.

“DAP ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah menyokong 14 calon kami, termasuk di empat kerusi yang kami kalah,” kata bekas menteri kewangan itu berhubung prestasi parti dalam pilihan raya negeri semalam.

PH menyertai pilihan raya berkenaan dengan rakan utamanya PKR memutuskan untuk berdiri di bawah panjinya sendiri manakala Amanah dan DAP berdiri di bawah panji Pakatan Harapan (PH).

Manakala DAP memenangi 10 kerusi, Amanah dan PKR hanya menang satu setiap satu. Satu lagi parti pembangkang Muda memenangi satu kerusi.

BN pula memenangi 40 kerusi dan Perikatan Nasional tiga kerusi.

“Bagi 10 kerusi yang dimenangi DAP, DAP akan memastikan wakil rakyat kami berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata DAP komited untuk menjaga, membantu dan mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di bawah konsep Mengutamakan Rakyat Malaysia.

“DAP dan PH akan terus mempertahankan kehidupan rakyat dengan memperjuangkan isu kenaikan harga barang, menolak cukai pendapatan sumber asing dan menentang kenaikan denda kompaun yang melampau bagi pelanggaran SOP Covid-19 kepada RM10,000 bagi individu dan RM1 juta bagi syarikat,” katanya. – 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen