BN menang sebab pembangkang berpecah, kata Mat Sabu


Keputusan ini menunjukkan bahawa, BN tidak menambah kekuatan mereka, sebaliknya mereka mendapat manfaat daripada perpecahan pembangkang yang begitu ketara, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

BARISAN Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri Johor bukan kerana parti itu kuat tetapi kerana pembangkang berpecah, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Katanya, pembangkang mendapat keseluruhan lebih 200,000 undi berbanding jumlah yang diraih oleh BN.

“Pada saya, keputusan ini menunjukkan bahawa, BN tidak menambah kekuatan mereka, sebaliknya mereka mendapat manfaat daripada perpecahan pembangkang yang begitu ketara. 

“Jumlah undi sebanyak 200 ribu tersebut, jika dibahagi kepada 56 DUN secara purata, hampir 4 ribu jumlah undi pembangkang mengatasi BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamad, Johor harus jadi pengajaran kepada parti-parti pembangkang “bagaimana untuk kembali bertaut, dan menyusun strategi bersama” menuju Pilihan Raya Umum ke-15, yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya ingin memberi ingatan kepada semua pihak, jika kita terus berpecah dalam menghadapi BN, hasilnya kita akan ‘memakan angin’ beramai-ramai selepas PRU-15 nanti,” tambahnya.

Mohamad sebelum ini beberapa kali menggesa Pakatan Harapan menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang untuk menghadapi musuh bersamanya.

Barisan Nasional diterajui Umno menang besar pada PRN Johor semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

Dalam PRN Johor semalam, BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, sementara PH menang 12 kerusi. 

PKR yang bertanding dengan lambang sendiri hanya menang satu saja kerusi daripada 20 yang ditandingi, sementara DAP dan Amanah yang bertanding dengan lambang PH menang masing-masing 10 dan satu kerusi.

Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin menang tiga kerusi sementara Muda yang berpakat dengan DAP dan Amanah menang satu.

Selain perpecahan pembangkang, Mohamad merumuskan BN menang juga kerana peratusan pengundi yang rendah, terutama dalam kalangan pengundi Cina di bandar.

“Faktor ini menyebabkan kawasan-kawasan campuran yang menjadi tapak kekuatan Pakatan Harapan, mengalami kekalahan,” katanya.

Pada PRU14, PH yang menang 36 kerusi menyapu 21 kawasan separa bandar. BN pada masa itu menang 19 kerusi dan 18 daripadanya kerusi luar bandar.

Kegagalan di Johor adalah isyarat penting untuk pembangkang, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

Awal hari ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata PRN Johor isyarat penting kepada parti pembangkang untuk kembali bersama.

“Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani pilihan raya umum kelak,” katanya.

Blok pembangkang berpecah – dan tidak pulih semula – sejak percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menjatuhkan pentadbiran 22 bulannya selepas menang PRU14.

Sejak itu, muncul dua parti serpihan Pejuang dan Muda yang dari masa ke masa berkrisis dengan PH, terutamanya PKR.

Pejuang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad dan pengikutnya sementara Muda diasaskan bersama oleh anak-anak muda diketuai bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen