PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor isyarat penting kepada parti pembangkang untuk kembali bersama, kata Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, selepas Barisan Nasional (BN) mendapat semula mandat rakyat di negeri itu.
Pada pilihan raya semalam, BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, sementara PH menang 12 kerusi.
PKR yang bertanding dengan lambang sendiri hanya menang satu saja kerusi daripada 20 yang ditandingi, sementara DAP dan Amanah yang bertanding dengan lambang PH menang masing-masing 10 dan satu kerusi.
Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin menang tiga kerusi sementara Muda yang berpakat dengan DAP dan Amanah menang satu.
Menurut Anwar, PKR menerima keputusan rakyat Johor.
“Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani pilihan raya umum kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Parti-parti yang pertama kali menyertai pilihan raya iaitu Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad dan Parti Bangsa Malaysia, serpihan daripada PKR, tidak menang satu kerusi pun malah semua calonnya hilang wang pertaruhan.

Parti yang bertapak di Sabah, Warisan, yang menjadikan Johor cubaan untuk melebarkan pengaruh di Semenanjung juga kalah semua enam kerusi yang ditandingi dan beberapa calonnya juga hilang wang pertaruhan.
Dalam pada itu, Anwar juga membangkitkan soal peratusan keluar mengundi yang rendah.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh malam tadi mengumumkan 1,426,573 orang atau 54.92% daripada pengundi berdaftar di Johor keluar mengundi, termasuk pengundi awal dan pengundi pos.
“Kita amat kuathir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan serta boleh mengugat proses demokrasi,” kata Anwar.
PRN Johor pertama kali melibatkan pengundi berumur 18 tahun dan mereka yang didaftarkan secara automatik, yang berjumlah lebih kurang 780,000 orang. – 13 Mac, 2022.
Komen