KKM lapor 26,250 kes baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

SELEPAS empat hari berturut-turut mencatatkan lebih 30,000 kes Covid-19 harian, Malaysia semalam merekodkan 26,250 jangkitan baharu.

Jumlah kes semalam adalah yang terendah dalam tempoh 11 hari lalu, apabila Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan bilangan kes harian tettinggi sebanyak 33,406 pada 5 Mac.

Angka terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sejak bermulanya wabak kepada 3,773,316 kes.

Terdapat juga sedikit peningkatan kematian semalam sebanyak 77 kematian berbanding 76 hari sebelumnya.

Sebanyak 23 diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital.

KKM sebelum ini memaklumkan bukan semua kematian harian berlaku dalam satu hari tetapi dilaporkan oleh fasiliti perubatan kepada kementerian dalam tempoh 72 jam.

Ini bermakna 77 kematian berlaku dalam tempoh tiga hari lepas.

Ia menjadikan angka kematian kepada 33,720, dengan 7,018 kematian di luar hospital.

Mengenai pecahan kes baharu, Lembah Klang mencatatkan hampir 35% daripada jumlah keseluruhan kes.

Selangor mencatatkan 6,472 kes, Kuala Lumpur (2,399) dan Putrajaya (191).

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Pulau Pinang (2,533), Johor (2,298), Kedah (2,292), Negeri Sembilan (1,786), Perak (1,555), Sarawak (1,427), Pahang (1,424), Kelantan (1,114), Terengganu (881), Sabah (796), Melaka (766), Perlis (191) dan Labuan (125).

Daripada 77 kematian, Pulau Pinang mencatatkan bilangan paling ramai dengan 12, diikuti Kelantan dan Selangor dengan masing-masing 11.

Kedah melaporkan 9 kematian, Johor (8), Perak (7), Perlis dan Terengganu (masing-masing 4), Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (masing-masing 3), Sabah (2), Melaka, Pahang dan Sarawak (masing-masing 1).

Tiada kematian berkaitan koronavirus di Labuan dan Putrajaya.

Daripada 23 kes kematian di luar hospital, 10 adalah dari Kelantan; Pulau Pinang dan Selangor (masing-masing 3), Perak dan Sabah (masing-masing 2), Negeri Sembilan, Terengganu, Kuala Lumpur (masing-masing 1).

Kadar kematian adalah 0.3% dan kematian terkumpul, sebanyak 0.9%. – 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen