Fomca, pencarum gesa Putrajaya benarkan KWSP dikeluarkan


Ravin Palanisamy

Ketika negara berdepan pelbagai masalah ekonomi disebabkan pandemik dan bencana alam, caruman KWSP adalah pilihan terakhir kebanyakan rakyat untuk terus hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.

PUTRAJAYA perlu membenarkan rakyat mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka serta merta bagi mengelakkan mereka memilih untuk meminjam wang daripada ah long dan pemberi pinjam wang tidak berlesen, kata Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Presiden Fomca Marimuthu Nadason berkata daripada membiarkan rakyat memilih ah long dan pemberi pinjam wang tidak berlesen yang akan memburukkan lagi situasi, lebih baik rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP mereka.

“Kerajaan perlu faham yang jika rakyat perlu menggunakan wang hari ini, mereka perlukan sekarang kerana ini adalah masa yang kritikal.

“Kadar pengangguran tinggi, kos sara hidup, banjir, harga minyak naik…adalah antara sebab mengapa mereka perlu dibenarkan untuk mengeluarkan caruman yang boleh menstabilkan (kehidupan) mereka,” kata Marimuthu kepada The Malaysian Insight.

Beberapa orang wakil rakyat termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran sekali caruman KWSP buat kali terakhir.

Kerajaan sebelum ini membenarkan caruman KWSP dikeluarkan menerusi beberapa siri inisiatif iaitu i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Kos sara hidup yang makin meningkat serta pelbagai cabaran kemelesetan ekonomi menyukarkan kehidupan ramai rakyat Malaysia sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

KWSP baharu sahaja mengumumkan pemberian dividen sebanyak 6.1%, tertinggi sejak tiga tahun lepas.

Berdasarkan dividen terbaru itu, Marimuthu menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000.

“Jika awak tanya, saya kata tak banyak boleh buat dengan RM5,000.

“Jadi benarkan mereka keluarkan RM10,000 dan saya percaya mereka yang mengeluarkannya akan berjimat cermat dan menyimpannya untuk jangka masa yang lama,” katanya.

“Jadi biar mereka keluarkan. Ya, ia patutnya untuk kegunaan waktu persaraan tetapi jika rakyat tak boleh beli makanan dan keperluan asas sekarang, apa gunanya simpan duit itu sampai tua?

“Mereka boleh mati dulu sebelum mencapai usia tua untuk mengeluarkannya,” katanya.

Pencarum juga mahu keluarkan

Pencarum juga mengulangi gesaan sama untuk mengeluarkan caruman KWSP mereka, berkata perkara terpenting sekarang untuk terus hidup.

Bagi kebanyakan rakyat, perkara terpenting sekarang adalah wang untuk meneruskan kehidupan bukannya persaraan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

M. Jeya, seorang penyambut tetamu berkata beliau masih bergelut dengan masalah kewangan sekarang kerana menjadi satu-satunya penyara keluarga.

Katanya, suaminya yang hilang pekerjaan di luar negara kerana pandemik Covid-19 dan kini sudah dimasukkan ke hospital selama dua bulan, situasi yang menambahkan tekanan kepada kehidupan mereka.

“Suami saya masuk hospital sudah dua bulan dan sekarang kami susah betul nak uruskan kewangan.

“Saya perlu sara anak perempuan saya di kolej, ibu saya dah sudah berusia dan suami saya di hospital.

“Pendapatan saya sahaja, susah nak hidup. Jadi saya sangat berterima kasih jika kerajaan membenarkan kami keluarkan sedikit caruman KWSP,” katanya yang berusia 48 tahun itu. – 14 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen