SUATU ketika dahulu kita kerap mendengar ungkapan “syukurlah Malaysia masih aman” sebagai satu sindiran kepada mereka yang menyokong pemimpin korup.
Sindiran ini lahir akibat keinginan rakyat yang mahukan perubahan, dan percaya perubahan kerajaan akan menjadikan Malaysia lebih baik.
Sudah terlalu usang cerita berkenaan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan sepenggal; begitu juga tentang Langkah Sheraton yang pada akhirnya membawa untung besar kepada Barisan Nasional (BN) – mereka yang berkhianat kepada PH akhirnya hidup dalam penderitaan.
Dalam siri “Game of Thrones” versi Malaysia ini, kita melihat BN semakin hampir menjadi kerajaan semula.
Kestabilan kerajaan penting
Sekiranya persoalan kestabilan dilemparkan kepada saya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tentu saya hanya akan ketawa kerana percaya kestabilan bukanlah persoalan penting – apa yang penting ketika itu adalah menukar kerajaan.
Pandangan itu telah berubah, setelah melihat permainan kuasa politik selepas kejatuhan PH.
Ketika rakyat sedang sengsara akibat pandemik, beberapa kerajaan negeri “dijatuhkan” demi perubahan kuasa.
Apa yang tidak boleh dilupakan adalah Malaysia mengumumkan darurat – ramai berpandangan ia terjadi kerana kerajaan tidak stabil.
Keadaan tidak stabil yang dicipta pasca PRU14 – di tengah-tengah pandemik – menyebabkan ramai rakyat mengambil kesimpulan ringkas; mereka mahu mengembalikan status quo di negara ini.
Kebanyakan rakyat percaya – hanya dengan kestabilan negara ini boleh bergerak ke hadapan. Keadaan ini bukan sahaja merugikan PH, ia juga dilihat memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN).
Kita dapat melihat PN cuba menjadi lebih “Melayu” daripada Umno, akhirnya mereka juga ditolak. Pergeseran antara Umno-PAA-Bersatu dalam koalisi itu menggambarkan mereka tidak stabil.
Kestabilan adalah hal asas yang perlu dijamin oleh PH sekiranya mereka ingin memberi saingan kepada BN menjelang PRU15.
Perkara pertama yang mereka perlu putuskan adalah ingin bertanding dengan logo apa?
Jika sikap berpecah-pecah yang tertonjol pada PRN Johor diteruskan, mereka sedang membentangkan karpet merah untuk BN mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Pihak pembangkang, termasuklah mereka yang berada di luar PH harus datang dengan idea-idea yang segar.
Bukan mudah untuk menutupi apa yang berlaku selepas PRU14, tapi itu sahaja caranya untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat. Isu periuk nasi harus terus menjadi zikir parti pembangkang.
Usahlah terlalu membebankan rakyat dengan isu-isu “bombastik” yang mungkin tidak difahami sebahagian besar mereka.
Mengambil contoh isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, kita dapat melihat Umno sering memainkan isu ini kerana ia berkaitan periuk nasi rakyat.
Walaupun pada jangka panjang ia akan memberi kesan yang buruk kepada persaraan rakyat, ia mudah difahami – elemen penting dalam sesebuah propaganda politik.
Barangkali pihak pembangkang harus merajinkan diri turun kepada rakyat banyak, supaya mereka benar-benar mengerti apa yang diinginkan rakyat.
Kesuburan demokrasi Malaysia
Kita perlu menyambut baik kehadiran pelbagai parti politik bertanding di PRN Johor; ia sesuatu yang baik untuk demokrasi di negara kita.
Saya ingin memberikan kredit kepada parti politik Muda, kerana mereka berjaya memenangi satu kerusi pada percubaan pertama. Ternyata rundingan kerusi mereka dengan PH membuahkan hasil apabila kebanyakan calon mereka mendapat undi yang baik.
Menjelang PRU15, kita berkemungkinan akan melihat keadaan yang sama – banyak parti politik dan calon bebas akan bertanding. Ia akan memberi ruang kepada rakyat untuk memilih apa yang mereka suka.
Saya percaya kemenangan selesa BN di Johor dan Melaka didorong kuat oleh keadaan parti pembangkang di negara kita yang semakin hilang sengatnya, barangkali mereka masih merindui kerusi-kerusi menteri yang empuk.
Sokongan terhadap BN tidaklah meningkat secara mendadak, melainkan sokongan kepada pembangkang semakin hilang. – 13 Mac, 2022.
* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen