BARISAN Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana parti pembngkang tidak bersatu, kata penganalisis politik.
Kemenangan itu juga akan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal, seperti yang didesak oleh pemimpin Umno, kata mereka.
BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN Johor sementara Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi.
Daripada 12 kerusi itu, Amanah dan DAP yang bertanding dengan logo PH masing-masing menang satu dan 10 kerusi sementara PKR yang bertanding dengan lambangnya sendiri menang satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi manakala Muda, yang membuat penampilan sulung dalam pilihan raya, menang satu daripada tujuh yang ditandinginya.
Parti-parti lain termasuk Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad serta PBM, yang merupakan serpihan PKR, tidak menang malah calon-calonnya hilang wang pertaruhan.
Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata keputusan pilihan raya semalam akan berbeza sekiranya pembangkang dan BN bertembung satu lawan satu.
“Pergeseran antara PH, Muda, PN, Warisan dan Pejuang menghadiahkan kemenangan kepada BN di Johor.
“Ironinya, semakin tinggi jumlah undi yang PN dapat daripada pengundi Melayu, semakin tinggi peluang BN menang. Maknanya, undi Melayu yang PH dapat pada pilihan raya umum lepas sekarang pergi kepada PN.
“Pembangkang mesti bersatu kalau mahu menang pilihan raya akan datang. Sekarang, PN dapat sikit undi, Muda dapat sikit, PH dapat sikit. Akhirnya, tidak cukup undi untuk kalahkan BN.
“Kalau kita campur undi yang dikumpul oleh pembangkang, BN tidak akan menang atau sekurang-kurangnya tidak dapat majoriti dua pertiga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jumlah pengundi yang sedikit juga memberi kelebihan luar biasa kepada BN, tambahnya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh malam tadi mengumumkan 1,426,573 orang atau 54.92% daripada pengundi berdaftar di Johor keluar mengundi, termasuk pengundi awal dan pengundi pos.
“Bilangan pengundi yang rendah memberi kelebihan kepada BN kerana dapat undi Melayu di kawasan majoriti Melayu.
“Pengundi Cina yang balik mengundi pada pilihan raya umum lepas tidak balik kali ini, dan ini memberi kelebihan kepada MCA. Seperti Umno, MCA juga ada penyokong tegarnya di kerusi majoriti Cina.
“Apabila pengundi muda yang kebanyakannya mengundi PH sebelum ini juga tidak balik, PH hilang pengundinya,” kata Hisomuddin.
Tekanan
Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania melihat kemenangan BN akan meningkatkan tekanan kumpulan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak kepada Ismail Sabri untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
Ismail Sabri juga akan tiada tempat sekiranya BN menang pilihan raya akan datang, katanya.
“Jelas, BN mahu gunakan momentum ini dan adakan pilihan raya segera. Mungkin Jun ini. Ismail Sabri akan berhadapan tekanan hebat.
“Beliau bukan dalam kem Najib atau Zahid. Kalau buat pilihan raya awal dan BN menang, beliau tidak akan ada tempat. Beliau kini dalam dilema,” katanya.

Pentadbiran Ismail Sabri memeterai persefahaman politik (MoU) dengan PH, yang antara lain menetapkan Parlimen tidak dibubar sebelum akhir Julai.
MoU itu juga merintis beberapa pembaharuan termasuk undang-undang antilompat parti yang akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.
Selepas Anwar
Dalam pada itu, Chin berkata PH perlu melihat selain pengerusinya Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR, kalau mahu menang PRU15.
“Anwar sudah hilang aura politiknya. Kalah tiga pilihan raya negeri berturut-turut adalah satu kesilapan politik besar. Boleh buat silap, tapi ini tiga kali berturut.
“PH akan kalah lagi kalau Anwar terus memimpin PH,” katanya, yang tepat menjangka BN menang dengan dua pertiga dan PH akan kalah teruk.
Mengenai Pejuang, Chin berkata parti tiada apa hendak ditawarkan selain imej Dr Mahathir.
“Pejuang hanyalah parti peminat Dr Mahathir. Tidak lebih daripada itu. Mereka tiada peluang dalam PRU15. Mereka tidak boleh tawarkan apa-apa selain Dr Mahathir,” katanya.
Beliau mengingatkan pertembungan pada PRU15 nanti ialah antara Melayu pembangkang dan Melayu Umno.
“Bukan antara Melayu Pejuang dan Melayu Umno,” tambahnya.
Hisomuddin juga berkongsi pandangan sama, dan berpendapat Pejuang perlu muhasabah dan memikirkan jenama baharu.
“Muda pun lebih baik daripada Pejuang. Pejuang tidak boleh bergantung pada Dr Mahathir.
“Kalau masuk PRU dengan momentum sebegini, calon mereka akan hilang semua wang pertaruhan,” katanya. – 13 Mac, 2022.
Komen