Najib lebih menonjol berbanding Ismail Sabri ketika BN rai kemenangan Johor


Dalam ucapan kemenangan Barisan Nasional di Johor malam ini, pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi berterima kasih kepada pekerja dan pimpinan parti atas kerja keras semasa kempen selain mengiktiraf Perdana Menteri Ismail Sabri tetapi turut memuji tinggi bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang disabitkan bersalah oleh mahkamah lebih menonjol berbanding Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob malam ini ketika pemimpin Barisan Nasional (BN) meraikan kemenangan besar dalam pilihan raya Johor.

Dalam ucapan kemenangan, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pekerja dan pimpinan parti atas kerja keras mereka semasa kempen, mengiktiraf Ismail Sabri tetapi mengangkat Najib.

Malah orang ramai yang terdiri daripada pekerja dan ahli parti bersorak kuat apabila Zahid menyebut nama Najib.

“Walaupun beliau diasak betubi-tubi, walaupun beliau difitnah setinggi gunung, walau beliau dikata dan dihina seluruh negara, tetapi semangat beliau tetap kental, tetap utuh,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

“Beliau bukan sahaja tahan uji, malah beliau mempunyai ketahanan yang luar biasa.

“Mudah-mudahan kemenangan yang besar ini juga hadiah untuk ‘Bossku’,” kata Zahid, diapit Najib, Ismail Sabri, timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dan Pengerusi BN Johor dan calon Menteri Besar Hasni Mohammad, antara pemimpin lain. Tiada seorang pun daripada mereka mematuhi penjarakan sosial walaupun semuanya memakai topeng.

Najib, yang menggunakan gelaran ‘Bossku’, berkempen untuk BN di beberapa kawasan di Johor.

Pada Julai 2020, beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd. Beliau kini dalam proses merayu di Mahkamah Persekutuan.

Hasni juga berterima kasih kepada Najib kerana berkempen untuknya, berkata, “Jika saya poster boy BN, Najib adalah picture boy kita.” – 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen