GIMNAS negara Farah Ann Abdul Hadi akhirnya menamatkan spekulasi apabila secara rasmi mengumumkan persaraannya hari ini.
Farah Ann, yang mengucapkan selamat tinggal kepada gimnastik menerusi Facebooknya menyifatkan pembabitan selama 25 tahun dalam sukan itu sebagai satu perjalanan yang menakjubkan.
“25 tahun lalu, seorang anak kecil tampil dengan berani dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.
“Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif,” katanya.
Atlet kelahiran Selangor itu berkata, dia sangat bersyukur atas persaraannya yang mengikut jangka masa terutama selepas layak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.
Gimnas berusia 27 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada semua sepanjang berkecimpung dalam sukan gimnastik dan atas segala kenangan, pengalaman, tunjuk ajar, kasih sayang dan sokongan yang diberikan.
Walaupun bersara, Farah Ann berkata, dia akan terus menyumbang dalam sukan itu pada masa akan datang.
“Gimnastik adalah sebahagian daripada hidup saya, ia menjadi minat saya dan berharap dapat terus menyumbang dalam sukan ini,” katanya.
Farah Ann membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India dan muncul antara gimnas terbaik Malaysia pada tahap Sukan SEA.
Gimnas negara itu meraih 7 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa pada temasya dwitahunan itu dengan Sukan SEA 2019 di Filipina adalah pencapaian terbaik dengan mengutip 3 emas dalam acara senaman lantai, palang bertingkat dan all-around individu.
Pencapaian terbaik Farah Ann adalah layak beraksi pada Sukan Olimpik buat kali pertama tahun lalu, menduduki tempat ke-68 daripada 85 peserta selepas mengutip 48.565 mata pada pusingan kelayakan acara all-around wanita.
Sebelum ini, masa depan Farah Ann bersama skuad kebangsaan menjadi tanda tanya apabila dilaporkan tidak mengikuti latihan selama tiga minggu dan menyuarakan hasrat untuk bersara.
Terdahulu, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) hari ini mengesahkan Farah Ann tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei depan. – Bernama, 12 Mac, 2022.
Komen