BN tak perlu pembangkang jika menang Johor, kata Zahid


TIDAK ada gunanya membuat sebarang perjanjian dengan pembangkang jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya Johor, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi BN berkata perjanjian dengan pembangkang tidak bermakna jika BN menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.

“Setakat ini kita buka pintu untuk kerjasama dengan mana-mana parti yang berdaftar. Tetapi kalau kita dapat (majoriti) dua pertiga maka kerjasama tak bererti,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini, di bilik gerakan BN di Johor petang ini.

Pengiraan undi sedang dijalankan selepas pusat mengundi ditutup pada 6 petang.

Di peringkat persekutuan, kerajaan pimpinan Umno Ismail Sabri Yaakob, yang mempunyai majoriti tipis di Parlimen, mendapat sokongan dan perjanjian pembekalan dengan Pakatan Harapan bagi mengekalkan kestabilan politik supaya pemulihan ekonomi dan pandemik Covid-19 dapat diteruskan.

Sebagai pertukaran, PH dapat meminta kerajaan mulakan reformasi tertentu kepada Parlimen dan undang-undang, seperti undang-undang antilompat parti.

BN menggesa DUN Johor dibubarkan dan pilihan raya awal kerana merasakan kerajaan negerinya tidak mempunyai kestabilan politik dengan hanya majoriti satu kerusi. – 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen