KADAR 50% mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat jam 4 petang tadi berbanding sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini 70% berkemungkinan disebabkan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, berkata kebimbangan terhadap Covid-19 menyebabkan pengundi tidak begitu bersemangat untuk mengundi pada PRN kali ini.
“Kita mendapati ramai pengundi golongan dewasa mungkin (tidak keluar mengundi) atas sebab bimbang jangkitan Covid-19.
“Mereka tidak begitu ghairah untuk keluar mengundi dan ini adalah dalam kalangan semua kaum Melayu, Cina, India. Warga tua tidak begitu ramai yang keluar mengundi mungkin atas sebab kesihatan,” kata calon Barisan Nasional itu selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pekan Nanas, hari ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu tiba di sekolah berkenaan pada jam 4.05 petang dan selesai mengundi 15 minit selepas itu. – Bernama, 12 Mac, 2022.
Komen