PRN Johor: BN tawan Johor, kata SPR


PUSAT mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditutup sepenuhnya jam 6 petang tadi dan proses pengiraan undi sedang dijalankan untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Terdapat 2.59 juta pemilih berdaftar, termasuk pemilih berumur 18 tahun dan pemilih baharu di bawah sistem pendaftaran pemilih automatik, namun peratusan keluar mengundi pada PRN ini dijangka rendah berikutan kekecewaan dan kebimbangan pengundi terhadap Covid-19.

Pada jam 4 petang, dua jam sebelum penutupan pengundian, hanya 50% pengundi menunaikan tanggungjawab, menurut kemas kini terakhir Suruhanjaya Pilihan Raya.

Perebutan undian utama adalah antara gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Terdapat juga parti baharu bertanding antaranya Pejuang, Muda, Warisan Sabah, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Putra, dan beberapa calon Bebas.

The Malaysian Insight akan menyiarkan kemas kini kiraan undi daripada gabungan sumber tidak rasmi – angka yang dikeluarkan parti politik – dan sumber rasmi – keputusan yang diumumkan SPR.

11.50 malam: SPR telah umum 50 daripada 56 kerusi Johor. Setakat ini, BN menang 37, sekali gus menjadikan parti itu mendapat majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, PH menang 9 kerusi, PN 3 dan PKR satu.

Baki enam kerusi belum diumumkan. Kemas kini akhir boleh diperolehi di laman web SPR di sini.

11.20 malam: Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di televisyen mengumumkan BN menang PRN Johor.

Katanya, setakat ini, BN memperoleh 29 daripada 56 kerusi, memberikan majoriti mudah dan mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

SPR juga mengumumkan, setakat ini, PH menang 4 kerusi, PN rangkul 3 dan PKR menang satu kerusi.

10.40 malam: SPR secara rasmi umum PH-DAP menang tiga kerusi di Perling, Bentayan dan Skudai.

Secara tidak rasmi, DAP juga mendahului di lapan kerusi lain, daripada 14 kerusi yang ditandinginya.

Lapan kerusi lain ialah Tangkak, Mengkibol, Penggaram, Stulang, Johor Jaya, Pekan Nanas, Senai dan Jementah.

Ketika ini ia masih mengekori di Bekok dan Paloh, dan secara rasmi kalah kepada calon MCA-BN di Yong Peng seperti diumum SPR.

SPR juga secara rasmi umum BN menang 18 kerusi, PN menang satu di Endau, dan PKR di Bukit Batu.

10.20 malam: PN secara rasmi diumumkan menang kerusi Endau, menurut SPR. PN mendapat majoriti 3,041 berbanding pesaing terdekatnya, BN, dalam pertembungan lima penjuru.

BN bagaimanapun menang tujuh kerusi mengikut keputusan rasmi SPR. kerusi dimenanginya ialah di Gambir, Bukit Naning, Benut, Kukup, Yong Peng, Johor Lama dan Tenang.

Di Tenang, Lim Wei Jiet dari Muda kalah dengan 1,736 undi kepada calon BN Haslinda Salleh.

Keputusan rasmi pertama PH setakat ini ialah kerusi Bentayan.

10.15 malam: Sorakan “bubar Parlimen” sambut PM.

Laungan “bubar Parlimen” menyambut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di pejabat Umno Johor di Johor Bahru untuk mengikut perkembangan keputusan pilihan raya negeri, malam ini.

Ismail Sabri tiba lebih kurang pukul 10 malam, ketika BN selesa mendahului di lebih 40 kerusi dan hampir pasti menang dua pertiga kerusi di DUN Johor.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan 38 kerusi diperlukan untuk kemenangan dua pertiga.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor Husni Mohammad dikelilingi penyokong di Pusat Operasi BN di Johor Bahru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Mac, 2022.

10.10 malam: Puteri Wangsa mungkin satu-satunya kerusi yang dimenangi Muda, di mana calonnya Amira Aisya mendapat 17,929 undi mengatasi BN dengan 13,944 undi.

Namun di Larkin, Machap dan Parit Raja, parti berasaskan golongan muda itu ketinggalan di belakang BN.

Di Larkin, BN mendapat 9,869 undi, PN (5,556), PKR (3,786), Muda (2,982) dan Pejuang (437).

Di Machap, BN memperoleh 9,804 undi, PN (3,809), Muda (3,459) dan Pejuang (451).

Di Parit Raja, BN setakat ini mendapat 10,637 undi, PN (6,414), Muda (3,893) dan Pejuang (515).

Sementara itu di Bukit Kepong, PN mendahului dengan 9,311 undi mengatasi Muda 2,771 undi.

9.57 malam: 10 kerusi yang didahului PH setakat ini ialah di Tangkak, Bentayan, Simpang Jeram, Penggaram, Mengkibol, Perling, Senai, Skudai, Johor Jaya dan Stulang.

Muda mendahului Puteri Wangsa manakala PKR mendahului di Bukit Batu.

9.55 malam: Keputusan rasmi pertama SPR adalah untuk Yong Peng dan Johor Lama, kedua-duanya dimenangi BN.

Di Yong Peng, BN menang dengan majoriti 2,741 undi mengatasi PH, pesaing terdekatnya.

Di Johor Lama, BN menang dengan majoriti 6,039 ke atas pesaing terdekat PN.

Secara tidak rasmi, PN hanya mendahului di tiga kerusi setakat ini iaitu di Bukit Kepong, Maharani, dan Endau.

PH pula mendakwa Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mendapat 18,600 undi di Perling setakat ini mengatasi BN 15,283 undi.

Di Skudai Calon DAP Marina Ibrahim memperoleh 17,634 undi jauh meninggalkan pesaing BN Lim Soon Hai dengan 8,189 undi.

9:50 malam: PN dilihat hanya mendahului di tiga daripada 56 kerusi DUN Johor.

Kerusi yang didahului PN setakat ini adalah DUN Bukit Kepong, Maharani, dan Endau.

Penyokong BN meraikan ketibaan pemimpin mereka di Pusat Operasi BN di Johor Bahru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Mac, 2022.

9.35 malam: Undian tidak rasmi menunjukkan calon PKR Maszlee Malik tewas kerusi Layang-Layang.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan perkara itu di Pusat Operasi BN di Johor Bahru, malam tadi.

Calon BN Mutalib menang dengan majoriti 3,016 undi.

Maszlee yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam mendapat 4,756 undi, dibelakang calon BN Abd. Mutalip Abd. Rahim yang mendapat 7,772 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN) K Alagathiran mendapat 1,297 manakala calon Pejuang Ahmad Shafiq Othaman mendapat 174 undi.

DUN Layang-Layang merupakan salah satu daripada dua DUN dalam Parlimen Simpang Renggam.

9.18 malam: Calon menteri besar BN Hasni Mohammad kelihatan bersedia untuk menang kerusi Benut.

Menteri besar sementara Johor itu mendapat 10,508 undi lebih 5,600 mengatasi PN yang memperoleh 4,828 undi. PKR hanya mendapat 1,147 undi manakala Pejuang dengan 132 undi.

Hanya tinggal dua aliran pengundian daripada 54 aliran di Benut yang belum dikira.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Twitter mendakwa BN mendahului 44 daripada 56 kerusi DUN.

Mana-mana gabungan yang membentuk kerajaan Johor akan datang memerlukan majoriti mudah 29 kerusi.

9.10 malam: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, antara nama besar yang bertanding di bawah PKR kini mengekori calon BN Abd Mutalip Abd Rahim di kerusi Layang-Layang.

Maszlee, yang disebut-sebut sebagai calon menteri besar sekiranya PKR menang, ketika ini mendapat 2,302 undi manakala Abd Mutalip dengan 3,170 undi.

Secara tidak rasmi, PKR ketinggalan di kebanyakan 20 kerusi yang ditandinginya.

8.55 malam: PH mengekori BN di Semerah dan Paloh yang dimenangi pakatan pembangkang pada PRU 2018.

Di Semerah, calon BN kini dengan 7,374 undi diikuti PN (4,860) dan PH-PKR (4,171). Calon lain di sini ialah Pejuang dengan 229 undi dan Putra setakat ini dengan 154 undi.

PKR di Semerah menggunakan logo sendiri, selaras dengan keputusan parti itu di semua kerusi Johor yang ditandinginya, manakala DAP dan Amanah menggunakan logo PH.

Di Paloh, penyandang kerusi Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali kini mendapat 2,098 undi, ketinggalan berbanding BN dengan 3,732 undi. Calon PN di sini dengan 627 undi dan Pejuang 72 undi.

8.50 malam: Bekas menteri besar Johor Dr Shahruddin Jamal mendahului tiga calon lain di Bukit Kepong.

Setiausaha Bersatu Johor itu mendahului dengan 8,753 undi, manakala calon BN Ismail Mohamad yang juga bekas Adun Bukit Serampang mendapat 7,924 undi.

Calon Muda Nurafiqah M Zulkifli mendapat 2,343 undi, diikuti calon Pejuang Md Taib Md Suhut dengan 15 undi.

Kerusi DUN Bukit Kepong merupakan kerusi disandang Dr Shahrudin selepas memenanginya atas tiket PH pada PRU14.

8.45 malam: Calon Muda R. Sangaran ketinggalan di belakang BN dan PN di Machap apabila Onn Hafiz Ghazi dari BN mendahului dengan 380 undi.

Di Maharani, PN melalui calon PAS kini mendahului dengan 2,297 undi, mengatasi PH (2,075), dan BN (1,872).

Calon bebas di Maharani, Lim Kin Hoo mendapat 209 undi dan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding calon Pejuang (102) dan PBM (57).

8.34 malam: Calon PN dari PAS mendahului di Maharani

PN mendahului di kerusi DUN Maharani dengan majoriti 222 selepas 22 daripada 71 peti undi dibuka.

Calon PN Abd Aziz Talib dari PAS setakat ini memperolehi 2,297 undi mengatasi calon PH Nor Hayati Bachok yang mendapat 2,075 undi manakala calon BN dari Umno Nor Farra Shamsudin mendapat 1,872 undi.

Calon Bebas mendapat Lim Kin Joo mendapat 209 undi, lebih daripada yang diraih calon Pejuang Riad Ahmad (102) dan calon PBM Ahmad Hasni Asmui Md Salleh (57).

Maharani adalah antara empat kerusi yang ditandingi enam penjuru.

8.30 pm: BN mendahului di Semerah dan Paloh, dua kerusi yang dimenangi PH PRU14 lalu.

Di Semerah calon BN Mohd Fared Mohd Khalid mendahului dengan 7,374 undi mengatasi calon PN Ariss Samsudin dengan 4,860 undi, diikuti calon PKR Mohd Khuzzan Abu Bakar (4,171).

Mahdzir Ibrahim daripada Pejuang mendapat 229 undi manakala Kamarolzaman Mohd Jidi mewakili Putra dengan 154 undi.

Semerah merupakan kerusi disandang Mohd Khuzzan, bekas exco PH dengan majoriti 98 undi pada PRU14.

Pencalonan Mohd Khuzzan di kerusi itu juga sebelum ini menerima protes daripada akar umbi PKR.

Di kerusi DUN Paloh yang disandang Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali pula, calon BN Lee Ting Han mendahului kutipan undi tidak rasmi setakat 8:30 malam tadi dengan 3,732 undi.

Sheikh Omar meraih 2,089 undi setakat ini diikuti calon PN V Selvendran (627) dan Aminuddin Johari dari Pejuang dengan 72 undi.

DAP menggunakan logo gabungan PH di Paloh manakala bagi DUN Semerah PKR menggunakan logo parti itu sendiri.

8.25 malam: Muda ketinggalan di tiga kerusi. Di Puteri Wangsa, setiausaha agungnya, Amira Aisya memperoleh 5,484 undi berbanding Pengerusi MCA Tebrau, Ng Yew Aik yang mendapat 6,189 undi.

Amira, bagaimanapun, mendakwa dalam tweet bahawa Muda memenangi undi pos untuk kawasan itu.

Muda juga ketinggalan di Bukit Kepong, dengan 1,334 undi sekali gus meletakkan parti itu di tempat ketiga buat masa ini selepas PN (3,067) dan BN (2,635). Pejuang hanya mendapat 74 undi.

Di Parit Raja, 1,785 undi milik Muda kini jauh di belakang penyandang BN yang memperoleh 3,833 undi. PN mendapat 2,013 undi manakala Pejuang 181 undi.

8.15 malam: Calon PH daripada DAP Liew Chin Tong, Marina Ibrahim dan Chew Chong Sin mendahului di Perling, Skudai dan Mengkibol.

Liew memperoleh 11,000 undi berbanding pesaing terdekatnya daripada PN yang mendapat 7,098 undi.

Marina, yang juga muka baharu PH memperoleh 3,344 undi berbanding BN 1,546 undi.

Chew di Mengkibol juga mendahului 7,259 undi berbanding BN 2,570.

8.00 malam: BN atasi Muda di Puteri Wangsa

Calon BN Ng Yew Aik mendahului lima calon lain dalam keputusan tidak rasmi di kerusi DUN Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat pukul 8 malam ini.

Kerusi itu menimbulkan perbalahan dalam PH kerana Amanah yang sepatutnya bertanding atas tiket gabungan pembangkang bertindak menyerahkannya kepada Muda.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Ng memperolehi 6,628 undi diikuti Amira Aisya Abd Aziz (Muda), memperolehi undi kedua tertinggi 5,965 undi dan Loh Kah Yong (PN) dengan 3,693 undi.

Calon PBM Steven Choong Shiau Yoon meraih 696 undi setakat ini, manakala calon Bebas Adzrin Adam sekadar memperolehi 137 undi.

Puteri Wangsa dimenangi calon Bersatu Mazlan Bujang pada PRU14 dengan majoriti 24,959 undi.

7.52 malam: Di Gambir, kerusi pengerusi PN Muhyiddin Yassin, calon gabungannya ketinggalan di belakang BN dengan 114 berbanding 243 undi.

PKR berada di tempat ketiga dengan 138 undi dan Pejuang hanya mendapat 11 undi.

Pada jam 4 petang, dua jam sebelum penutupan pengundian, hanya 50% pengundi menunaikan tanggungjawab, menurut kemas kini terakhir Suruhanjaya Pilihan Raya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Mac, 2022.

Calon MCA daripada BN juga menunjukkan prestasi yang baik di Yong Peng, dengan 1,265 undi berbanding PH (517) dan PN (139).

BN kini mendahului 40 daripada 56 kerusi DUN.

Sementara itu, PH pula mendahului di Bentayan, majoriti pengundi Cina dan kerusi DAP, dengan 2,406 undi berbanding BN (680) dan PN (477).

Salahuddin Ayub daripada Amanah menerima tentangan sengit di Simpang Jeram dengan 638 undi berbanding PN (665) dan BN (588). Pejuang gagal menguasai keputusan di sini, dengan hanya 23 undi diperoleh setakat ini.

7.43 malam: Di Tenang, Calon Muda Lim Wei Jiet mendahului sedikit dengan 138 pengundi berbanding calon BN Haslinda Salleh yang memperoleh 134 undi.

Muda juga mendahului di Bukit Kepong. Calonnya Afiqah Zulkifli mendahului dengan 241 undi mengatasi pesaing terdekatnya calon BN Ismail Mohamed yang setakat ini memperoleh 232 undi.

Di Larkin, tempat Muda dan PKR bertembung, Muda memperoleh 10 undi dan PKR 15. PN bagaimanapun mendahului di kerusi ini dengan 118 undi.

7.25 malam: Liew Chin Tong dari PH mendahului di Perling, dengan 2,996 undi.

PH juga mendahului di Penggaram dengan 1,752 undi, Mengkibol (2,192), dan Johor Jaya (2,115).

Keputusan tidak rasmi calon Barisan Nasional mendahului di 31 daripada 56 kerusi DUN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Mac, 2022.

Di semua kerusi ini, BN berada di tempat kedua selepas PH.

7.20 malam: Tidak rasmi calon Barisan Nasional mendahului di 31 daripada 56 kerusi DUN.

Menurut bilik gerakan BN, antara kerusi itu adalah Buloh Kasap, Kemelah, Tenang, Bekok, Tangkak, Serom, Bukit Naning, Maharani, Sungai Balang, Seri Medan dan Yong Peng.

BN juga mendahului di Senggarang, Mahkota, Paloh, Kahang, Endau, Tenggaroh, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Skudai dan Kota Iskandar.

Kerusi lain adalah Bukit Permai, Bukit Batu, Senai, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nenas dan Kukup.

7.15 malam: Liew Chin Tong dari PH mendahului di Perling, dengan 747 undi. Mengekori pengerusi DAP Johor itu ialah PN dengan 391 dan BN (308).

Setakat ini, hanya tujuh daripada 172 saluran mengundi di kerusi itu telah dikira.

7.07 malam: Di bilik gerakan BN, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan BN telah menang undi dibuang di “semua kem tentera”.

Terdapat lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan dan pasangan mereka yang membuang undi awal pada Selasa lepas.

6.53 petang: BN mendahului beberapa kerusi DUN pada pengiraan awal seperti di Maharani dengan 618 undi, Bukit Pasir (191), dan Tangkak (171).

BN selesa mendahului di Yong Peng, di mana calonnya dari MCA memperoleh 385 undi setakat ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Mac, 2022.

Parti itu juga selesa mendahului di Yong Peng, di mana calonnya dari MCA memperoleh 385 undi setakat ini manakala di Bukit Naning dengan 510 undi.

Di Bukit Naning, pesaing terdekatnya ialah PN yang kini mempunyai 319 undi. – 12 Mac, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen